26
Jan
2024

Tropicana jual Courtyard by Marriott Penang pada harga RM165 juta

KUALA LUMPUR: Tropicana Macalister Avenue (Penang) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Tropicana Corporation Bhd (Tropicana) menjual Courtyard by Marriott Penang pada harga RM165 juta kepada IOI PFCC Hotel Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung IOI Properties Group Bhd.

Tropicana berkata, pihak-pihak berkenaan telah menandatangani perjanjian jual beli hari ini, dan penjualan berkenaan akan menjana lebihan tunai kira-kira RM80.8 juta untuk kumpulan itu, yang akan digunakan bagi mengurangkan kemudahan pembiayaan sedia ada.

"Penjualan ini sejajar dengan inisiatif berterusan kumpulan untuk mengewangkan bank tanah dan hartanah pelaburannya, mengurangkan penggearan bersih dan memperbaiki kedudukan kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

Tropicana berkata, kumpulan itu akan terus menghasilkan pendapatan yang mampan, disokong oleh jualan tidak dibil bernilai RM2.3 bilion, kempen jualan hartanah yang berterusan serta prestasi yang lebih baik daripada jualan hartanahnya.

Jumlah simpanan tanahnya meliputi 745.43 hektar, dengan jumlah potensi nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM120 bilion.​​​

Pada tahun ini, pemaju itu bersedia untuk melancarkan pembangunan penting dengan GDV dianggarkan lebih RM4 bilion, terdiri daripada projek-projek hartanah seperti di Tropicana Aman di Kota Kemuning; Tropicana Alam di Puncak Alam; serta Bora Tower B.

Ia juga akan melancarkan kediaman bertanah, Tropicana Paradise @ Tropicana WindCity dan kediaman perkhidmatan dan kedai runcit, Tropicana Avalon @ Tropicana WindCity di Genting Highlands serta kediaman perkhidmatan, Tropicana Cenang di Langkawi.

-BERNAMA

Source: Berita Harian

Search