28
Feb
2024

IOI Properties raih pendapatan RM1.25 bilion dalam enam bulan

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) merekodkan pendapatan sebanyak RM1.25 bilion bagi separuh pertama 2024 berakhir 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata hasil dalam segmen pembangunan hartanah menguncup sebanyak 16 peratus tetapi ia diimbangi oleh prestasi positif segmen pelaburan hartanah.

Beliau berkata, segmen pelaburan hartanah kumpulan merekodkan lonjakan sebanyak 25 peratus.

Selain itu, katanya walaupun sumbangan pendapatan daripada Hotel Palm Garden, Hotel A Tribute Portfolio dan Hotel Marriott Putrajaya rendah disebabkan pelaksanaan pengubahsuaian yang berterusan, hasil daripada segmen hospitaliti dan riadah masih kukuh hasil daripada sumbangan yang lebih tinggi daripada hotel lain.

Katanya, ini menyebabkan keuntungan sebelum cukai (PBT) pada tempoh dikaji lebih rendah sebanyak 65 peratus kepada RM405.0 juta berbanding RM1.16 bilion tempoh sama tahun lalu.

"PBT sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih lemah daripada segmen pembangunan hartanah di Malaysia dan China yang mencatatkan jualan yang lebih rendah.

"Namun begitu, bahagian prestasi lemah segmen pembangunan hartanah diimbangi sebahagiannya oleh prestasi yang lebih baik dalam segmen pelaburan hartanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeow Seng berkata, ini menunjukkan langkah kumpulan dalam merangka strategi dan ketangkasan perniagaan

ketika mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata, pada masa sama kumpulan turut mengekalkan kestabilan dalam semua segmen perniagaan di Malaysia, Singapura dan China.

"Kami sedar bahawa persekitaran operasi di dalam dan di luar Malaysia akan berterusan menghadapi pelbagai kemelut.

"Namun, penawaran produk hartanah di tiga negara, pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap dan meningkatkan prospek segmen hospitaliti dan riadah akan terus menyediakan IOIPG asas pendapatan kukuh berterusan," katanya.

Source: Berita Harian

Search