Bandar Putra Kulai lonjak jualan IOI Properties
15
Jan
2024

Bandar Putra Kulai lonjak jualan IOI Properties

KUALA LUMPUR: Bandar Putra Kulai milik IOI Properties Group Bhd akan terus mendorong jualan pemaju hartanah itu kerana kegiatan perindustrian di kawasan berkenaan dijangka semakin meningkat.

Penganalisis RHB Investment Bank, Loong Kok Wen, berkata jangkaan itu akan terus diperkukuhkan lagi dengan kemungkinan bahawa sebuah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) akan dibina di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

"IOI Properties masih mempunyai tanah yang belum dimajukan seluas 3,474 ekar di perbandaran itu, iaitu 67 peratus daripada jumlah baki portfolio," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, Bandar Putra Kulai ialah sebuah perbandaran berusia 25 tahun yang telah dimajukan oleh IOI Properties.

"Kami menjangka perbandaran itu akan mendorong jualan hartanah syarikat ini pada tahun-tahun akan datang, memandangkan terdapat pembangunan yang sedang berjalan dan yang bakal dijalankan di kawasan sekitar. Antaranya termasuklah pembangunan Taman Pusat Data Hijau YTL (terletak sejauh 30 minit), dan potensi pembinaan stesen LRT di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (terletak sejauh 15 minit).

"Tambahan lagi, kumpulan ini telah menjual 404 ekar tanah bukan teras yang dimilikinya di Kulai kepada EcoWorld pada September lalu untuk tujuan pembangunan perindustrian. Kesemua pembangunan ini mungkin akan menjana permintaan untuk hartanah di kawasan itu.

"Sebagai makluman, Bandar Putra Kulai mencapai rekod tertinggi jualan sebanyak RM525 juta pada tahun kewangan 2023, dua kali ganda daripada RM250 juta pada tahun kewangan 2022 dan menyumbang 27 peratus daripada jualan IOI Properties sejumlah RM1.96 bilionn pada tahun kewangan 2023. Jualan yang diraih syarikat pada 2023 di Johor juga berkembang daripada RM515 juta pada 2022 kepada RM772 juta," katanya.

Sementara itu, beliau berkata IOI Properties dijangka mencatatkan prestasi kukuh untuk aset-aset hartanah runcit dan hospitaliti.

Katanya, syarikat itu sekarang ini memiliki jumlah ruang runcit seluas 8.49 juta kaki persegi dan lima hotel yang mempunyai sejumlah 1,876 bilik dengan tiga lagi hotel bakal dimasukkan dalam portfolionya.

"Kami percaya pusat-pusat beli belah runcit dan hotel kumpulan ini di Putrajaya bakal mencatat prestasi kukuh pada masa akan datang.

"Selain dorongan daripada musim perayaan, IOI City Mall dan hotel-hotel di sekelilingnya dijangka akan memanfaatkan ketibaan pelancong yang dirangsang oleh galakan bebas visa selama 30 hari buat pelancong dari China dan India," katanya.

Kok Wen berkata, di Singapura pula, menara pejabat pertama IOI Properties yang diberi taraf Gred A Bangunan Hijau Platinum bakal membuka tirainya pada Jun atau Julai depan.

Katanya, sewaan muktamad setakat ini mencecah 40 peratus, manakala 20 peratus lagi sedang dalam rundingan peringkat akhir, dengan penyewanya terdiri daripada syarikat-syarikat terkemuka antarabangsa.

"Kami yakin bahawa kadar ambilan untuk ruang pejabat akan meningkat apabila bangunan ini hampir siap dalam beberapa bulan akan datang.

"Bangunan pejabat ini akan menjadi pemacu perolehan utama buat kumpulan ini mulai tahun kewangan 2025. Dengan andaian kadar penghunian 80 peratus dan kadar sewaan purata S$13 setiap kaki persegi, bangunan ini berpotensi menjana pendapatan sewaan sebanyak RM450 juta hingga RM480 juta untuk IOI Properties setiap tahun," katanya.

Source: Berita Harian

Search