IOI Properties catat untung bersih RM214.86 juta

Posted:
Source: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd melonjak 120.48 peratus kepada RM214.86 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 31 Disember 2018 berbanding RM97.45 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehannya bagaimanapun berkurangan kepada RM666.15 juta daripada RM695.41 juta, sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu menyifatkan prestasi lebih baik itu disumbang oleh peningkatan keuntungan operasi pembangunan hartanah di China selain keuntungan usaha sama jualan projek kediaman South Beach Residences di Singapura.

Penyusutan perolehan itu bagaimanapun berikutan sumbangan lebih rendah yang dicatatkan oleh segmen pembangunan hartanah.

Menurut syarikat itu, walaupun pasaran hartanah di Malaysia terus suram dalam jangka terdekat ini, IOI Properties kekal optimis bahawa permintaan terhadap hartanah di lokasi strategik dilengkapi kemudahan infrastruktur pengangkutan misalnya akan terus menarik perhatian bakal pembeli.

“Syarikat ini juga aktif melaksanakan strategi pemasaran seiring dengan pembangunan domestik bagi menangani jurang kemampuan serta membuka potensi nilainya dalam jangka panjang,” katanya.