CHONG (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Susilo (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian antara IOIPG dan Marriott International di Puchong.
06
Aug
2026

The Westin Puchong' terus jadi tumpuan

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) menjalin kerjasama dengan Marriott International bagi membangunkan 'The Westin Puchong', hotel lima bintang yang dijangka mula beroperasi menjelang akhir Jun 2030.

Hotel dilengkapi 324 bilik itu akan dibangunkan di IOI Rio City di Bandar Puteri Puchong.

Ia adalah sebahagian daripada pembangunan bercampur bernilai pembangunan kasar (GDV) RM12 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Operasi-Pelaburan Hartanah IOIPG Chris Chong, pembukaan The Westin Puchong akan memperkukuh kedudukan Bandar Puteri Puchong sebagai hab perniagaan serta destinasi pilihan pelancong korporat dan rekreasi.

    "The Westin Puchong membabitkan pelaburan hampir RM500 juta, manakala pembangunan fasa pertama pusat beli-belah IOI Rio Mall membabitkan pelaburan melebihi RM1 bilion," katanya pada majlis menandatangani perjanjian operasi dan pengurusan hotel antara IOIPG dan Marriott International, baru-baru ini.

    Beliau berkata, portfolio hospitaliti dan riadah IOIPG kini merangkumi sembilan hotel dengan 3,075 bilik, manakala penambahan The Westin Puchong bersama beberapa projek lain termasuk W Singapore-Marina View akan meningkatkan kapasiti kepada 3,982 bilik menjelang 2030, iaitu pertambahan 907 bilik.

    Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik Marriott International Andree Susilo berkata, The Westin Puchong adalah projek hotel ke-10 yang dibangunkan bersama IOIPG di Malaysia, Singapura dan China, mencerminkan kerjasama strategik yang terjalin sejak sedekad lalu.

    Katanya, selain hotel berkenaan, pembangunan IOI Rio City turut merangkumi IOI Rio Mall dengan keluasan boleh disewa bersih (NLA) melebihi satu juta kaki persegi serta sebuah menara pejabat Gred A setinggi 30 tingkat.

    "The Westin Puchong dijangka mewujudkan kira-kira 220 peluang pekerjaan, selain meningkatkan kapasiti bilik hotel kumpulan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong perniagaan dan pelancong antarabangsa.

    "Hotel ini turut disasarkan memperoleh pensijilan 'Green Building Index' (GBI) Gold menerusi penggunaan bahan binaan cekap tenaga, sistem mekanikal mesra alam serta amalan pengurusan sisa yang mampan," katanya.

    Source: Harian Metro

    Search