Untung bersih IOI Properties suku pertama melonjak tinggi kepada RM664.3 juta
PUTRAJAYA: IOI Properties Group Bhd merekodkan lonjakan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM664.3 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2025, meningkat mendadak berbanding RM69.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, peningkatan prestasi itu disumbangkan terutamanya oleh keuntungan sekali bayar sebanyak RM502.8 juta yang terhasil daripada penilaian semula kepentingan dalam projek South Beach di Singapura selepas syarikat berjaya mengambil alih baki ekuiti dalam usaha sama berkenaan.
Bagaimanapun, kedudukan kewangan syarikat kekal kukuh walaupun tanpa mengambil kira keuntungan sekali bayar itu. Berdasarkan laporan kewangan, keuntungan sebelum cukai (PBT) asas kumpulan mencatatkan kenaikan 88 peratus kepada RM250.9 juta berbanding RM133.7 juta tahun lalu.
Lonjakan keuntungan itu turut disokong oleh prestasi pendapatan kumpulan yang meningkat 41 peratus kepada RM968.7 juta bagi suku dikaji berbanding RM687.9 juta sebelumnya. Pertumbuhan hasil ini didorong oleh prestasi lebih baik merentasi semua segmen perniagaan utama syarikat.
Bagi segmen pembangunan hartanah, jualan mencecah RM473.6 juta dengan projek tempatan menyumbang RM384.2 juta atau 81 peratus daripada jumlah keseluruhan. Bakinya sebanyak RM89.4 juta disumbangkan oleh projek di China.
Di Malaysia, jualan tertumpu di Lembah Klang dengan nilai RM243.4 juta diterajui oleh perbandaran matang 16 Sierra di Puchong South dan projek baharu Senna Puteri di Salak Tinggi, Sepang. Wilayah selatan di Johor turut menyumbang RM141.7 juta melalui projek Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.
Pengambilalihan aset di Singapura dilihat sebagai langkah strategik yang mula membuahkan hasil. Bermula 1 September 2025, kumpulan menguasai sepenuhnya operasi JW Marriott Singapore South Beach, South Beach Avenue dan South Beach Tower, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil berulang.
Segmen pelaburan hartanah merekodkan kenaikan hasil 31 peratus kepada RM287.2 juta, disokong oleh kadar komitmen penyewaan di IOI Central Boulevard Towers, Singapura yang kini mencecah 95 peratus serta sumbangan daripada IOI Mall Damansara.
Dari segi pengurusan hutang, penurunan trend kadar faedah memberi kelebihan kepada kumpulan memandangkan kira-kira 84 peratus daripada jumlah pinjaman adalah dalam mata wang Dolar Singapura. Ini bertindak sebagai lindung nilai semula jadi kerana aset dan pendapatan syarikat juga adalah dalam mata wang itu.
Sementara itu, sektor hospitaliti dan riadah mencatatkan lonjakan hasil 44 peratus kepada RM159.0 juta, didorong oleh kedatangan pelancong yang tinggi serta jangkaan peningkatan aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebagai tanda penghargaan kepada pemegang saham, syarikat telah membayar dividen interim satu peringkat sebanyak 8.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. Pembayaran dividen itu telah dilaksanakan pada 25 September 2025.
Melihat ke hadapan, IOI Properties Group Bhd menjangkakan prestasi kewangan kekal memuaskan, disokong oleh penawaran produk yang pelbagai di tiga negara serta aliran pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanah yang matang.