Untung Bersih IOI Properties Melonjak Kepada RM708.84 Juta Bagi Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd melonjak lebih tujuh kali ganda kepada RM708.84 juta pada suku kedua berakhir 31 Dis, 2025 berbanding RM94.78 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya, perolehan turut meningkat kepada RM1.04 bilion daripada RM729.0 juta.
Pemaju hartanah itu berkata pendapatan dan pertumbuhan perolehan yang kukuh didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan daripada Scottsdale Properties Pte Ltd susulan pengambilalihan bagi 50.1 peratus kepentingan ekuiti, yang menjadikan entiti itu sebagai anak syarikat, serta sumbangan yang lebih tinggi merentasi semua segmen.
Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 31 Dis, 2025, keuntungan bersih melonjak kepada RM1.37 bilion daripada RM163.95 juta, manakala perolehan meningkat kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.42 bilion sebelumnya.
“Prestasi yang kukuh ini terutamanya disumbangkan oleh keuntungan nilai saksama ke atas pelaburan hartanah dan pengukuran semula di South Beach, masing-masing berjumlah RM567.1 juta dan RM502.8 juta.
“Tidak termasuk perkara-perkara luar biasa ini, keuntungan sebelum cukai asas kumpulan meningkat 87 peratus kepada RM530.6 juta, disokong oleh sumbangan yang kukuh merentasi semua segmen,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Lee Yeow Seng berkata kumpulan itu kekal yakin dengan prestasinya bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di tiga negara (Malaysia, China dan Singapura), projek perindustrian yang sedang berjalan dan aktiviti pusat data.
Selain itu, pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanahnya, tinjauan hospitaliti yang positif dan persekitaran kadar faedah yang menggalakkan di Singapura.