Untung bersih IOI Properties melonjak kepada RM686.74 juta
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih tahun penuh IOI Properties Group Bhd meningkat kepada RM686.74 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2022 daripada RM660.21 juta sebelumnya.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pendapatan meningkat sebanyak empat peratus atau RM101.7 juta kepada RM2.59 bilion berbanding RM2.49 bilion sebelumnya, disokong terutamanya oleh pendapatan pajakan berulang daripada IOI Mall, Xiamen serta pemulihan kukuh dalam operasi gedung membeli belah dan segmen liburan serta hospitaliti di Malaysia.
Bagi asas suku tahunan, keuntungan bersih suku keempatnya berjumlah RM292.48 juta berbanding 118.37 juta pada tahun lalu.
Hasil bagi suku berkenaan berjumlah RM715.94 juta daripada RM658.65 juta tahun sebelumnya.
"Kami terus mencatatkan pemulihan kukuh dalam segmen runcit dan hospitaliti di Malaysia sejak sekatan pergerakan ditarik sepenuhnya yang memberikan prospek baik kepada kumpulan.
"Kumpulan menjangkakan pendapatan pajakan berulang yang tinggi daripada pembukaan fasa 2 IOI City Mall yang dijadualkan pada akhir Ogos 2022 kerana ia bakal menjadi gedung membeli belah terbesar di Malaysia dengan ruang boleh disewa seluas 2.5 juta kaki persegi.
"Seiring dengan penambahan lebih 300 peruncit, IOI City Mall akan mempunyai lebih 700 peruncit secara keseluruhannya," katanya.
Kumpulan itu juga bersedia untuk menampung peningkatan pelancongan antarabangsa dan domestik dengan pengubahsuaian dua hotelnya, Putrajaya Marriott Hotel dan Palm Garden Hotel, di Putrajaya.
Persekitaran operasi kumpulan di dalam dan luar Malaysia terus berdepan keadaan tidak menentu bagi tahun kewangan 2023 tetapi projek yang sedang diusahakan dan pelancaran baharu yang dirancang akan menyediakan asas kukuh serta kemampanan pendapatan.
Tidak ada dividen dicadangkan bagi suku semasa yang berakhir 30 Jun 2022. -BERNAMA