Tropicana jual Hotel W KL kepada 101 PFCC, Flora Development RM270 juta
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tropicana Corporation Bhd, Tropicana Residences Sdn Bhd (TRSB) hari ini menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan IOI PFCC Hotel Sdn Bhd (IOI PFCC) dan Flora Development Sdn Bhd (Flora Development) untuk pelupusan Hotel W Kuala Lumpur dan asetnya (W KL) pada harga RM270 juta.
TRSB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pertimbangan pelupusan itu dibuat berdasarkan penjual dan pembeli rela-merelai selepas mengambil kira jangkaan keuntungan proforma bersih daripada penjualan kira-kira RM7.41 juta.
"Pelupusan itu akan dapat mengumpul sebanyak RM270 juta, menerusi hasil pelupusan berkenaan selepas ditolak perbelanjaan sampingan berkaitan cadangan pelupusan itu untuk digunakan oleh Tropicana bagi membayar balik sepenuhnya pinjaman bank sedia ada W KL, ia sekali gus menambah baik tahap kadar hutang Kumpulan Tropicana," katanya.
Syarikat itu berkata cadangan pelupusan itu dijangka tidak memberi kesan material serta-merta ke atas aset bersih dan tahap kadar hutang Tropicana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 kerana cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku pertama 2024 .
Bagaimanapun, pelupusan itu dijangka meningkatkan aset bersih Kumpulan Tropicana pada masa hadapan memandangkan hasil itu akan digunakan untuk membayar balik sepenuhnya pinjaman bank sedia ada W KL, serta membayar sebahagian pinjaman bank sedia ada Kumpulan Tropicana yang akan menambah baik tahap kadar hutang Kumpulan Tropicana.
W KL terdiri daripada 25 tingkat, 150 bilik hotel dan pelbagai kemudahan hotel serta 346 ruang tempat letak kereta yang terletak bersebelahan dengan persimpangan Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee berhampiran Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC di Kuala Lumpur. – Bernama