Strategi berdaya maju untuk masa depan
IOI Properties Group Bhd (IOIPG) merasmikan projek perindustrian terbaharunya, IOI Industrial Park @ Banting (IOIIPB), strategi penting kumpulan dalam segmen hartanah industri hijau yang semakin berkembang di Malaysia.
Dijangka siap dalam tempoh dua tahun, fasa pertama taman perindustrian itu akan merangkumi 103 unit kilang yang sesuai untuk pelbagai jenis industri.
Manakala, fasa kedua pula mula menerima pertanyaan tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah (Malaysia) IOIPG Teh Chin Guan, projek yang dijangka menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.8 bilion dalam tempoh lima tahun itu adalah langkah strategik bagi memenuhi permintaan kukuh terhadap hartanah industri mesra alam.
"Peningkatan minat pelabur terhadap pembangunan industri hijau adalah hasil usaha berterusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor dengan sokongan pihak berkuasa tempatan serta agensi utiliti.
"Pembangunan ini selaras dengan aspirasi negara melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang turut mendorong pertumbuhan pelaburan industri hijau sejak 2023," katanya pada majlis perasmian, baru-baru ini.
Hadir sama EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris.
Jelas Teh lagi, kedudukan strategik IOIIPB hanya 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi kelebihan logistik sukar ditandingi bagi sektor yang memerlukan pergerakan barangan bernilai tinggi dengan segera.
"Kami menyasarkan industri yang sangat bergantung kepada pengangkutan udara seperti barangan mewah, komponen elektronik bernilai tinggi, sektor E&E serta farmaseutikal.
"Industri ini memerlukan penghantaran cepat, tepat serta selamat, dan IOIIPB berada dalam kedudukan ideal untuk memenuhi keperluan itu.
"IOIIPB turut menarik minat industri yang memerlukan bekalan tenaga besar berikutan keupayaan taman perindustrian itu menyediakan tiga rangkaian talian penghantaran termasuk dua talian 275kVA serta satu talian 33kVA.
"Ini menjadikan kawasan ini sangat sesuai untuk pusat data, pengeluaran elektronik berkapasiti tinggi dan sektor pembuatan yang memerlukan kuasa stabil serta berterusan," katanya.