Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan (tiga dari kanan) bersama Nyuk Kiong (kanan) melancarkan projek IOI Rio City di Puchong -NSTP/HAZREEN MOHAMAD
29
Oct
2024

Projek pembangunan IOI Rio City di Puchong ambil inspirasi Singapura

PUCHONG: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) melancarkan pelan induk IOI Rio City seluas 100 ekar di Bandar Puteri Puchong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM12 bilion. 

Dengan membawa konsep 15 minit ke bandar, IOI Rio City menggabungkan semua aspek kehidupan harian di satu kawasan, mengambil inspirasi daripada pembangunan pelbagai guna seperti IOI Central Boulevard Towers dan South Beach di Singapura. 

Ia juga dilengkapi dengan kemudahan penting seperti perkhidmatan, keperluan pengangkutan, ruang awam dan juga landskap yang direka untuk menyokong jangkaan perkembangan ekonomi di kawasan terbabit. 

Pengurus Besar Kanan IOIPG Puchong, Chung Nyuk Kiong, berkata IOIPG mengambil pendekatan jangka panjang dalam membangunkan kawasan pinggir bandar moden, bagi menggalakkan persekitaran hidup sihat dengan kemudahan pelbagai.

"Walaupun ditetapkan sebagai pembangunan terintegrasi yang moden dan bertenaga, kawasan kediaman di IOI Rio City diasingkan daripada pusat perniagaan dan runcit untuk memastikan privasi dan keselamatan penduduk. 

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan menyiapkan hampir 1,600 unit kondominium gaya hidup, kedai runcit kejiranan dan rumah kediaman manakala fasa pembangunan seterusnya di IOI Rio City akan dilancarkan dengan IOI Mall Rio sebagai pemangkin runcit," katanya semasa pelancaran pelan induk IOI Rio City, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pusat beli-belah mega seluas sejuta kaki persegi itu akan memulakan fasa seterusnya di IOI Rio City dengan merangkumi lebih 300 kedai runcit.

Ia juga menawarkan campuran penyewa yang terdiri daripada makanan dan minuman (F&B), gaya hidup, fesyen, teknologi maklumat (IT), keselesaan dan hiburan, termasuk panggung wayang, bagi memenuhi keperluan pembeli dan pelawat di Bandar Puteri Puchong serta kawasan sekitar seperti Bandar Kinrara dan Seri Kembangan.

"Pembinaan IOI Mall Rio ini akan membina momentum syarikat sambil meningkatkan kedudukannya. Kami menyasarkan golongan muda yang bertenaga dan selaras dengan demografi yang berubah di Puchong dan kami juga berusaha untuk membawa rakan pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan terkenal bagi membangunkan komuniti sebagai destinasi gaya hidup sehenti.

"Bagi melengkapkan IOI Mall Rio, pelan induk IOI Rio City kami termasuk halaman tengah, pancuran air dan halaman awam yang mesra haiwan peliharaan, direka sebagai pusat komuniti untuk menyatukan masyarakat," katanya.

Nyuk Kiong berkata, bagi memupuk pertumbuhan mampan dengan mobiliti pintar dan pelaburan infrastruktur, IOIPG telah melabur dalam sistem infrastruktur terowong dan jalan bawah, termasuk titik masuk dan keluar khas untuk kemudahan parkir. 

"Kemudahan parkir bawah tanah ini adalah sistem parkir pintar untuk mengoptimumkan aliran lalu lintas serta berfungsi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di atas tanah, sambil menggalakkan jalan kaki di dalam dan sekitar komuniti.

"Ia juga dilengkapi dengan reka bentuk mesra pejalan kaki dan pengangkutan awam bagi meningkatkan aksesibiliti ke tempat menarik berdekatan seperti stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Perindustrian Puchong dan Pusat Kewangan Korporat Puchong," katanya.

Source: Berita Harian

Search