Pendapatan 9 bulan IOI Properties meningkat kepada RM3.06 bilion
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 41 peratus kepada RM3.06 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM2.17 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu dipacu pertumbuhan kukuh ketiga-tiga segmen teras perniagaannya iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah, yang masing-masing merekodkan pertumbuhan 28 peratus, 41 peratus dan 83 peratus.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat pula melonjak lebih empat kali ganda kepada RM1.95 bilion berbanding RM430.9 juta dalam tempoh sama tahun kewangan 2025.
IOIPG berkata, pencapaian itu disumbangkan terutamanya oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan sebanyak RM567.1 juta dan keuntungan pengukuran semula South Beach bernilai RM502.8 juta.
Tanpa mengambil kira item luar biasa berkenaan, keuntungan sebelum cukai asas kumpulan meningkat 88 peratus kepada RM878.6 juta, disokong sumbangan lebih kukuh daripada semua segmen perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng dalam satu kenyataan berkata, prestasi dalam tempoh sembilan bulan itu membuktikan keberkesanan strategi kumpulan dalam mengimbangi portfolio pendapatan serta memanfaatkan permintaan sektor perindustrian.
"Kami turut memperkenalkan produk yang memenuhi permintaan pasaran di samping meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentas ketiga-tiga segmen perniagaan walaupun berdepan cabaran ekonomi global dan ketegangan geopolitik berterusan," katanya.
Bagi segmen pembangunan hartanah, kumpulan itu mencatat jualan RM2.71 bilion dalam tempoh sembilan bulan berkenaan dengan projek di Malaysia menyumbang RM2.48 bilion atau 92 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan.
Di Malaysia, jualan banyak dipacu projek di Lembah Klang yang menyumbang RM1.80 bilion, didorong jualan tanah industri di IOI Industrial Park Banting dan Jalan Ampang serta sumbangan berterusan daripada bandar terancang seperti 16 Sierra di Puchong Selatan dan Bandar Puteri Puchong.
Wilayah Johor pula merekodkan jualan RM675.3 juta hasil permintaan terhadap tanah industri di IOI Industrial Park Iskandar Malaysia, selain prestasi memberangsangkan Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.
Dalam perkembangan berkaitan, projek The Cube Plus iaitu pembangunan pejabat kedai separa berkembar empat tingkat di Bandar Puteri Puchong dengan nilai pembangunan kasar RM738.3 juta mencapai jualan penuh ketika pelancarannya pada Mac lalu.
Sementara itu, segmen pelaburan hartanah terus mencatat prestasi positif disokong penambahan South Beach Tower dan peningkatan kadar penghunian di IOI Central Boulevard Towers di Singapura, selain prestasi kukuh IOI City Mall dan IOI Mall Puchong di Malaysia.
IOIPG juga mengumumkan cadangan pengambilalihan Asia Square Tower 2 (AST2), bangunan pejabat premium Gred A di daerah kewangan Marina Bay, Singapura, yang dijangka mengukuhkan lagi portfolio pendapatan berulang kumpulan serta memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemilik pejabat utama terbesar di kawasan Marina Bay.