
Peluang lihat mural Maradona, Messi
PUTRAJAYA: Peminat bola sepak negara berpeluang menyaksikan pemeran seni mural monumental dua legasi legenda bola sepak Argentina serta dunia, Diego Maradona dan Lionel Messi di tanah air.
Berlangsung di pusat membeli belah IOI City Mall Putrajaya bermula hari ini sehingga esok, pameran seni mural itu memaparkan hasil seni artis mural terkenal Argentina, Cesar Damian Daiz.
Pelancaran pameran berkenaan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata sebagai negara penggemar sukan bola sepak, pameran mural membabitkan mendiang Maradona dan legenda Messi itu diharap dapat menyemarakkan minat anak muda terhadap bola sepak.
"Berdasarkan pusat membeli-belah sebagai lokasi tumpuan keluarga, ia juga sesuai dijadikan platform untuk memupuk minat sukan dalam kalangan belia kerana kadang kala, anak-anak hanya perlu melihat sesuatu sukan untuk mencetuskan minat mereka.
"Justeru, kami sedang berbincang dengan pengendali pusat membeli-belah untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan di lokasi mereka seperti ini," katanya.
Daiz dalam pada itu berkata projek berkenaan adalah penghargaannya kepada legenda yang sudah menjadi sebahagian identiti Argentina bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi sebagai ikon budaya.