KWSP bukan lagi pemegang saham utama IOI Properties
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam IOI Properties Group Bhd, apabila ia mengurangkan pegangan dalam kaunter itu yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan.
Dana persaraan pekerja swasta itu, yang mula menjadi pemegang saham utama IOI Properties pada Januari 2017, telah menjual 100 juta saham atau pegangan sebanyak 1.82 peratus pada 3 Oktober, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia hari ini.
Penjualan itu mengurangkan pegangan saham KWSP dalam syarikat pemaju hartanah itu kepada 4.29 peratus daripada 6.11 peratus sebelum ini.
Pemegang saham terbesar IOI Properties ialah Vertical Capacity Sdn Bhd, syarikat yang dikawal oleh keluarga Pengerusi IOI Corp, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan pegangan sebanyak 65.67 peratus.
Harga saham IOI Properties ditutup pada RM2.18 pada 3 Oktober, iaitu yang tertinggi dalam tempoh sebulan, menjadikan nilai blok saham yang dijual oleh KWSP kira-kira RM218 juta.
Sahamnya susut satu sen atau 0.47 peratus kepada RM2.14 hari ini, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM11.78 bilion.