Keuntungan suku pertama IOI Properties merosot RM69 juta
PETALING JAYA – Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd merosot kepada RM69.17 juta pada suku pertama (S1) berakhir 30 September berbanding RM174.45 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Pemaju hartanah itu turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM133.7 juta, susut 41 peratus disebabkan perbelanjaan faedah tinggi berikutan pembinaan Menara Boulevard Pusat IOI sejak April lalu.
Hasil bagi S1, bagaimanapun, meningkat enam peratus kepada RM687.85 juta ekoran peningkatan prestasi dalam segmen pelaburan hartanah serta segmen hospitaliti dan percutian.
Ketua pegawai eksekutif kumpulan Lee Yeow Seng berkata, segmen pelaburan hartanah mencatatkan hasil dan keuntungan operasi masing-masing sebanyak RM218.7 juta dan RM133.4 juta bagi suku tahun semasa.
“Pendapatan dalam segmen hospitaliti telah meningkat kepada RM110.7 juta yang didorong oleh sumbangan daripada W Kuala Lumpur yang baru diambil alih dan pembukaan Hotel Moxy selain perolehan Courtyard By Marriott Penang,” katanya.
Katanya, prestasi kewangan IOI Properties tahun ini dijangka kekal memuaskan yang disokong oleh penawaran produk di tiga negara, aliran pendapatan daripada portfolio pelaburan hartanah serta prospek positif segmen hospitaliti dan percutian.
Justeru, Yeow Seng berkata, usaha untuk membersihkan inventori telah menghasilkan pengurangan sebanyak RM179.9 juta, menjadikan inventori yang telah siap turun kepada RM1.74 bilion.
“Ini membolehkan pengewangan segera ke dalam aliran tunai untuk menyokong komitmen modal berterusan kumpulan dan keperluan modal kerja.
“Kami kekal fokus untuk mengurangkan lagi inventori yang telah siap melalui kedudukan produk strategik dan kempen jualan promosi,” tambahnya.