KEUNTUNGAN BERSIH SUKU KETIGA IOI PROPERTIES MENINGKAT KEPADA RM115.38 JUTA
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd meningkat hampir berganda dalam suku ketiga berakhir 31 Mac, 2023 kepada RM115.38 juta berbanding RM59.72 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil susut 23 peratus kepada RM564.67 juta daripada RM737.79 juta sebelumnya berikutan prestasi lemah daripada segmen pembangunan hartanah.
"Segmen pelaburan hartanah merekodkan hasil dan keuntungan operasi masing-masing sebanyak RM135.1 juta dan RM51.7 juta."
"Hasil segmen hospitaliti dan liburan melonjak sebanyak 71 peratus daripada RM30.0 juta kepada RM51.3 juta pada Suku Ketiga 2023 dan kerugian operasi susut sebanyak 70 peratus daripada RM7.4 juta pada Suku Ketiga 2022 kepada RM2.2 juta," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
IOI Property berkata hasil dan keuntungan operasi segmen pembangunan hartanah bagi Suku Ketiga 2023 turun 38 peratus dan 70 peratus masing-masing kepada RM375.4 juta dan RM78.6 juta, dalam suku semasa.
Mengenai prospek masa depan, kumpulan itu berkata ia akan terus meningkatkan pembangunan dan fokusnya dalam menawarkan unit kediaman harga pertengahan yang disasarkan kepada pembeli yang kurang terkesan dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).