27
Feb
2022

Keuntungan bersih IOI Properties susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd berkurangan kepada RM125.72 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 daripada RM170.98 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ia selepas pemaju hartanah itu mencatat kerugian nilai saksama sebanyak RM98.4 juta disebabkan IOI Mall di Xiamen, China.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata hasil bagaimanapun naik kepada RM704.83 juta daripada RM591.34 juta, disokong oleh prestasi kewangan yang bertambah baik merentas semua segmen perniagaannya dalam pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah.

Bagi tempoh enam bulan terkumpul berakhir 31 Disember 2021,ia mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM334.54 juta daripada RM363.08 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 manakala hasil susut kepada RM1.14 bilion daripada RM1.25 bilion sebelum ini.

Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Voon Tin Yow, berkata industri hartanah berkemungkinan pulih seiring dengan pemulihan ekonomi keseluruhan Malaysia.

"Kami menjangka pemulihan ekonomi negara yang lebih kukuh pada 2022, dibantu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan global untuk barangan dan perkhidmatan," katanya.

Di peringkat antarabangsa, IOI Properties berkata, pembinaan IOI Palm International Parkhouse yang kini sedang berjalan di Xiamen dijangka siap pada suku kedua tahun kewangan 2023.

"Bersama-sama dengan IOI Palm City, kedua-dua pembangunan kediaman ini akan menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan pada suku akan datang," katanya.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan kos bahan binaan, IOI Properties berkata ia membentuk unit perniagaan baharu yang terbabit kebanyakannya dalam mendapat dan membekalkan bahan binaan.

Tiada dividen diisytiharkan untuk suku di bawah kajian.

Source: Berita Harian

Search