Berita Harian 20250424 Beng Yeang (dua dari kanan) pada lawatan media ke projek hartanah milik IOIPG di Johor Bahru
24
Apr
2025

IOI Properties yakin jualan hartanah industri di Johor meningkat

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) optimis sumbangan jualan produk industri termasuk tanah dan kilang bina khas untuk wilayah selatan, terutama di Kulai mampu meningkat kepada 15 peratus.

Peningkatan itu didorong oleh lonjakan minat terhadap projek perindustrian susulan termeterainya perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah Wilayah Selatan IOIPG, Lim Beng Yeang, berkata sebelum ini syarikat hanya memberi tumpuan terhadap pembangunan perbandaran, namun strategi kini beralih kepada kepelbagaian termasuk projek perindustrian.

"Selepas perjanjian JS-SEZ dimeterai awal tahun ini, pertanyaan berkaitan tanah dan projek industri di Kulai meningkat dengan ketara, mendorong kami untuk beri fokus kepada pembangunan perindustrian.

"Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian JS-SEZ pada 7 Januari lalu dengan sasaran menarik 50 projek pelaburan dan mencipta 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pertama, atau 100 projek pelaburan dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Beng Yeang berkata, IOIPG memiliki tanah seluas 5,065 ekar di wilayah selatan, dengan 3,640 ekar terletak di Kulai, 68 ekar di Johor Bahru dan selebihnya di Segamat serta Sedenak.

"Antara projek utama di Kulai termasuk pembangunan Bandar Putra Kulai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM10 bilion yang menyumbang kira-kira 70 peratus jualan Johor serta Taman Lagenda Putra bernilai RM700 juta.

"Untuk projek perindustrian masa hadapan, projek IOI Industrial Iskandar atau dikenali sebagai I Synergy dijangka menyumbang GDV sebanyak RM1.8 bilion," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar IOIPG Kulai, Kelvin Tang, berkata sebelum perjanjian JS-SEZ, sumbangan jualan projek perindustrian Kulai di wilayah selatan kurang daripada lima peratus.

"Sejak akhir tahun lalu, permintaan terhadap projek perindustrian meningkat dan kami menjangka sumbangan jualan dari projek perindustrian Kulai boleh meningkat sehingga 15 peratus.

"Ketika ini, wilayah selatan menyumbang sekitar 30 peratus daripada keseluruhan jualan IOIPG, dengan RM500 juta daripada projek di Kulai dan jumlah keseluruhan wilayah selatan adalah RM700 juta setahun," katanya.

Beliau berkata, daripada 3,640 ekar tanah di Kulai, setakat ini 1,100 ekar diperuntukkan untuk pembangunan projek perindustrian, dengan 500 ekar sudah dikenal pasti mempunyai pembeli berpotensi.

"Kami juga menawarkan perkhidmatan bina kilang mengikut keperluan pelanggan dan ini adalah kelebihan kami. Setakat ini, kami melihat pelabur dari China, Indonesia dan Singapura menunjukkan minat terhadap projek industri di Kulai, dengan pelaburan meliputi sektor makanan & minuman (F&B), elektrik dan elektronik (E&E), bateri kenderaan penjimatan tenaga, logistik dan pergudangan," katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan tarif Amerika Syarikat (AS), beliau berkata sektor E&E serta semikonduktor masih mendapat pengecualian, justeru projek perindustrian di Kulai tidak terkesan.

"Ini kerana pelabur yang memulakan rundingan sebelum tarif diperkenalkan tidak menarik diri kerana mahu mengelak gangguan rantaian bekalan seperti ketika pandemik, selain faktor kenaikan kos operasi di China," katanya.

Source: Berita Harian

Search