Berita Harian 20251118 IRC
18
Nov
2025

IOI Properties tinjau penyenaraian REIT di Malaysia, Singapura

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd sedang meneroka dua penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) masing-masing di Malaysia dan Singapura, dengan nilai aset gabungan sehingga AS$8 bilion, menurut dua sumber yang mengetahui perkara terbabit.

Syarikat itu, salah satu pemaju hartanah terbesar di Malaysia, sedang berbincang dengan penasihat dan merancang untuk menyenaraikan REIT Malaysia di Bursa Malaysia pada 2026 serta REIT Singapura di SGX pada 2027, kata sumber berkenaan.

REIT Malaysia dijangka merangkumi aset domestik bernilai kira-kira RM7 bilion hingga RM8 bilion, manakala REIT Singapura dijangka terdiri daripada aset bernilai S$7 bilion hingga S$8 bilion, menurut sumber.

REIT Singapura mungkin merangkumi hartanah ternama seperti South Beach Tower, South Beach Avenue dan IOI Central Boulevard Towers, menurut salah satu sumber.

Syarikat itu masih belum memutuskan jumlah yang ingin dikumpulkan atau campuran aset akhir, kata sumber yang enggan dinamakan kerana perkara itu adalah sulit.

IOI Properties Group dalam jawapan e-mel berkata kepada Reuters bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan dan menilai secara strategik pelbagai kemungkinan berkaitan pencairan aset dan pengurusan modal bagi memastikan pertumbuhan berkekalan kumpulan pada masa hadapan, khususnya di Malaysia dan Singapura.

Ia menambah bahawa kajian berterusan mengenai potensi REIT—terutamanya bagi aset di Malaysia—adalah sebahagian daripada pelan strategik 2026 yang bertujuan mempelbagaikan operasi, meningkatkan pendapatan dan memastikan kestabilan jangka panjang.

Diasaskan pada 1975 oleh mendiang hartawan Tan Sri Lee Shin Cheng, IOI Properties Group disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2013 selepas pengasingan daripada IOI Corp.

Kumpulan ini telah berkembang menjadi salah satu pemaju terbesar di Malaysia, dengan jumlah aset RM46.9 bilion setakat Jun 2025, menurut laporan tahunan syarikat.

Portfolio Malaysia termasuk IOI City Mall di Putrajaya, iaitu kompleks beli-belah terbesar di negara ini, IOI Mall Damansara dan beberapa menara pejabat di Lembah Klang.

Di Singapura, kumpulan itu memiliki IOI Central Boulevard Towers di Marina Bay dan baru-baru ini memperoleh pemilikan penuh pembangunan pelbagai guna South Beach pada harga S$835 juta.

Anak lelaki Lee, iaitu Datuk Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng, yang mengawal IOI Properties Group dan gergasi minyak sawit IOI Corp, mempunyai nilai bersih gabungan kira-kira AS$5.2 bilion, menurut Forbes.

Source: Berita Harian

Search