IOI Properties raikan 30 tahun di Johor
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) meraikan pencapaian 30 tahun pembangunannya di Johor dengan melancarkan kempen istimewa '30 Tahun Bersama', menawarkan ganjaran lumayan kepada pembeli hartanah termasuk peluang memenangi percutian eksklusif ke 30 destinasi antarabangsa.
Kempen yang bermula 1 April lalu itu menawarkan pelbagai insentif menarik kepada pencari hartanah, antaranya subsidi pengubahsuaian sehingga RM30,000, rebat sehingga dua peratus, perabot dan peralatan elektrik percuma, serta geran perniagaan bernilai sehingga RM300,000 bagi projek komersial terpilih.
Ketua Pegawai Operasi Segmen Hartanah Wilayah Selatan IOIPG, Lim Beng Yeang, berkata kempen itu merupakan penghargaan kepada para pelanggan yang menyokong syarikat sepanjang tiga dekad lalu.
"Sebagai memperingati momen penting ini, kami ingin memberi ganjaran kepada pelanggan dengan peluang memenangi hadiah lumayan termasuk pakej percutian impian keliling dunia," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, semua pembeli hartanah kediaman, komersial dan perindustrian terpilih (unit kilang sahaja) yang menempah dan menyelesaikan urusan pembelian sebelum 30 Jun 2025 layak menyertai cabutan bertuah bulanan, selain berpeluang memenangi hadiah utama menerusi Cabutan Utama pada Julai 2025.
Antara hadiah menarik termasuk barangan mewah, peralatan rumah, serta hadiah utama berupa pakej percutian untuk dua orang ke 30 destinasi antarabangsa.
Lim berkata, IOIPG memulakan kehadirannya di Johor menerusi pembangunan Bandar Putra Kulai pada 1995 yang kini menjadi salah satu perbandaran paling besar dan dikenali di negeri itu, diikuti Bandar IOI Segamat pada 1996.
"Bandar Putra Kulai mempunyai keluasan 2,298.614 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM10 bilion, manakala Bandar IOI Segamat berkembang daripada 200.319 hektar kepada 245.644 hektar.
"Kini kami memiliki baki tanah simpanan seluas 2,049.733 hektar di Johor, yang menjadi asas kepada pembangunan bandar mapan dan berdaya tahan hasil lokasi strategik serta pelan induk menyeluruh," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Jualan, Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan IOIPG, Nicole Lee, berkata Johor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan rantau ini, terutamanya selepas pengumuman pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"JS-SEZ dijangka menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perubatan, farmaseutikal, logistik, kewangan serta ekonomi digital," katanya.
Tambah Nicole, portfolio IOIPG di selatan merangkumi pelbagai jenis hartanah termasuk rumah bertanah eksklusif, apartmen servis, pejabat kedai dan kilang industri yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan pembeli.