Berita Harian 20251208 IOI IOIIPB 1
08
Dec
2025

IOI Properties lancar taman perindustrian hijau RM1.8 bilion di Banting

KUALA LANGAT: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) merasmikan projek perindustrian terbaharunya, IOI Industrial Park @ Banting (IOIIPB), menandakan perkembangan penting strategi kumpulan dalam segmen hartanah industri hijau yang semakin berkembang di Malaysia.

Fasa pertama taman perindustrian itu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan merangkumi 103 unit kilang yang sesuai untuk pelbagai jenis industri, manakala fasa kedua mula menerima pertanyaan tinggi daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

IOIPG menjangkakan pelancaran jualan fasa kedua dapat dibuat dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah (Malaysia) IOIPG, Teh Chin Guan, berkata projek yang dijangka menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.8 bilion dalam tempoh lima tahun ini merupakan langkah strategik bagi memenuhi permintaan kukuh terhadap hartanah industri mesra alam.

"Peningkatan minat pelabur terhadap pembangunan industri hijau adalah hasil usaha berterusan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor dengan sokongan pihak berkuasa tempatan serta agensi utiliti.

"Pembangunan ini selaras dengan aspirasi negara melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang turut mendorong pertumbuhan pelaburan industri hijau sejak 2023," katanya berucap pada majlis perasmian IOI Industrial Park @ Banting di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris; Pengarah Eksekutif Promosi Pelaburan MIDA, En. Faizal Jalaludin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Mohd Hasry Nor Mohd, serta Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat, Nur Afizah Ahmad.

IOIPG menyasarkan industri bernilai tinggi yang bergantung kepada penghantaran udara serta penggunaan tenaga berskala besar sebagai kumpulan pelabur utama bagi mengisi taman perindustrian berkeluasan 322 ekar itu.

Dalam sidang media selepas itu, Chin Guan berkata kedudukan strategik IOIIPB hanya 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi kelebihan logistik sukar ditandingi bagi sektor yang memerlukan pergerakan barangan bernilai tinggi dengan segera.

"Kami menyasarkan industri yang sangat bergantung kepada pengangkutan udara seperti barangan mewah, komponen elektronik bernilai tinggi, sektor E&E serta farmaseutikal. Industri ini memerlukan penghantaran cepat, tepat dan selamat, dan IOIIPB berada dalam kedudukan ideal untuk memenuhi keperluan itu.

"IOIIPB turut menarik minat industri yang memerlukan bekalan tenaga besar berikutan keupayaan taman perindustrian itu menyediakan tiga rangkaian talian penghantaran termasuk dua talian 275kVA serta satu talian 33kVA.

"Ini menjadikan kawasan ini sangat sesuai untuk pusat data, pengeluaran elektronik berkapasiti tinggi dan sektor pembuatan yang memerlukan kuasa stabil serta berterusan," katanya.

IOIIPB direka dengan penekanan terhadap kelestarian melalui penggunaan bahan binaan bercirikan hijau, pemasangan kelengkapan jimat air, sistem tadahan air hujan serta inisiatif pengurusan sisa yang menyasarkan sehingga 80 peratus bahan binaan dikitar semula atau diselamatkan.

Projek ini turut menyediakan infrastruktur operasi rendah karbon seperti lampu jalan solar, bumbung sedia solar dan kemudahan pengecas kenderaan elektrik, sejajar dengan komitmen pembangunan rendah karbon negara.

Dari segi kejuruteraan, taman perindustrian ini dibangunkan bagi memastikan ketahanan jangka panjang melalui sistem mitigasi banjir termasuk tasik takungan dan bioswale yang berfungsi merawat serta mengurus aliran air secara semula jadi.

Selain itu, akses kepada dua talian penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut memastikan bekalan tenaga yang stabil dan sesuai untuk pengguna kuasa tinggi seperti pusat data.

Source: Berita Harian

Search