IOI Properties lancar taman perindustrian 130 hektar di Banting, GDV RM1.8 bilion
KUALA LUMPUR 8 Dis – IOI Properties Group Bhd melancarkan pembangunan perindustrian terbaharunya, IOI Industrial Park @ Banting di Kuala Langat, Selangor, meliputi keluasan 130 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.8 bilion.
Pelancaran tersebut diadakan serentak dengan pembukaan galeri jualannya, IOI Galleria @ Banting, di tapak projek.
IOI Properties dalam kenyataan hari ini berkata, taman perindustrian itu akan dibangunkan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan 103 unit kilang terdiri daripada kilang sesebuah, separa berkembar, kilang kluster serta plot tanah individu.
Fasa pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
Bagi kilang sesebuah, ia menawarkan keluasan binaan 27,895 kaki persegi dengan saiz tanah 180 kaki x 221 kaki, dilengkapi bekalan kuasa 800 Ampere serta ketinggian siling kawasan pengeluaran sehingga 12 meter.
Kilang separa berkembar pula menawarkan keluasan binaan 14,124 kaki persegi dengan saiz tanah sehingga 90 kaki x 200 kaki, manakala kilang kluster menyediakan keluasan binaan sehingga 9,499 kaki persegi dengan saiz tanah sehingga 85 kaki x 150 kaki.
Maklumat harga jualan dan perincian fasa kedua akan diumumkan kemudian.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah IOI Properties, Teh Chin Guan berkata landskap perindustrian kini menuntut pembangunan yang lebih mampan dan bersedia untuk masa hadapan.
“IOI Industrial Park @ Banting telah menerima pensijilan sementara GreenRE Bronze,” katanya.
Menurut beliau, antara ciri hijau yang disediakan termasuk lampu jalan solar, bumbung boleh pasang solar, stesen pengecas kenderaan elektrik, kelengkapan jimat air, sistem penuaian air hujan, pusat kitar semula dan kemudahan kompos.
Selain itu, taman perindustrian tersebut turut dilengkapi bioswale dan tasik takungan air, yang telah siap dibentuk bagi mengurus aliran air ribut secara semula jadi.
“Syarikat juga menyasarkan untuk mengitar semula atau menyelamatkan 80% bahan binaan bukan berbahaya,” katanya.
Menurut IOI Properties, pembangunan ini menyasarkan industri berkaitan kargo udara termasuk barangan mewah dan komponen elektronik, pembuatan, farmaseutikal, serta industri berkeperluan bekalan kuasa tinggi seperti pusat data.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, yang merasmikan pelancaran itu berkata projek tersebut menyasarkan sektor-sektor di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 termasuk elektrikal dan elektronik, bioteknologi serta logistik.
“Syarikat mahukan pelaburan bernilai tinggi, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan peningkatan kecekapan perdagangan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Selangor,” katanya menurut kenyataan itu.
IOI Industrial Park @ Banting boleh diakses melalui Lebuhraya Sambungan KLIA, Lebuhraya Utara-Selatan Link Tengah, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Putrajaya–Cyberjaya.
Projek ini juga terletak 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, 52 kilometer dari Pelabuhan Klang dan 7 kilometer dari persimpangan Banting Lebuhraya Pantai Barat yang sedang dibina.