10
Mar
2025

IOI Properties lancar Senna ExChange di Senna Puteri

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) akan melancarkan Senna ExChange, pembangunan komersial pertama di perbandaran ikoniknya, Senna Puteri, Salak Tinggi, Selangor.

Dalam satu kenyataan, IOIPG memaklumkan Senna ExChange merangkumi 37 unit kedai pejabat dua tingkat dan 12 unit kedai pejabat tiga tingkat di atas tanah seluas 3.14 hektar, menawarkan peluang baharu kepada usahawan dan pelabur untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan komersial di Sepang.

"Pembangunan ini terletak secara strategik berhampiran pusat bandar lama Salak Tinggi dan disokong oleh populasi melebihi 400,000 orang di kawasan sekitarnya," kata kenyataan itu.

IOIPG menjelaskan, Senna ExChange bakal mendapat manfaat daripada kedudukannya yang hanya tiga kilometer dari stesen Express Rail Link (ERL) Salak Tinggi, sekali gus meningkatkan akses kepada lebih 20,000 penumpang harian laluan rel itu.

Ketua Jualan, Pemasaran dan Penjenamaan Kumpulan IOIPG, Nicole Lee Chee Yiing, berkata pelancaran ini mengikuti kejayaan projek Arena Xchange di Kota Warisan, yang habis terjual dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran dan mencatat kadar penghunian tinggi dalam tempoh enam bulan selepas siap.

"Perkembangan pesat Sepang dipacu oleh inisiatif seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) serta projek utama termasuk Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Antarabangsa Sepang, Taman Aeroangkasa Selangor dan pelbagai taman perindustrian baharu.

"Pemilik perniagaan dan pelabur boleh berunding dengan perunding jualan kami bagi merebut peluang ditawarkan oleh Senna ExChange, sekali gus memanfaatkan pertumbuhan pesat demografi dan ketersambungan pengangkutan yang baik di kawasan ini," katanya.

IOIPG turut memaklumkan bahawa Senna ExChange akan dilengkapi empat stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta 534 petak tempat letak kereta bagi kemudahan pengunjung, selain mempunyai dua titik akses utama dengan sambungan terus ke Jalan Kota Warisan-Bandar Baru Salak Tinggi bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

Melengkapkan pembangunan ini, perbandaran Senna Puteri turut menyaksikan pelancaran kediaman pertamanya, Aurelia, yang terletak dalam persekitaran landskap hijau dan strategik.

Aurelia menawarkan 386 unit rumah bandar tiga tingkat moden yang dibina di atas bukit, dengan keluasan binaan bermula dari 157 meter persegi untuk unit bawah dan 217 meter persegi untuk unit atas, dengan harga bermula dari RM495,000.

Pengurus Besar IOIPG Bangi dan Sepang, Wong Peen Fook, berkata kehadiran komponen kediaman seperti Aurelia yang berdekatan dengan Senna ExChange akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada penduduk dan pemilik perniagaan.

"Pembeli juga boleh menikmati promosi serta pakej menarik sempena musim perayaan ini," katanya. - Bernama

Source: Berita Harian

Search