IOI Properties jual tiga plot tanah industri di Banting bernilai RM740.68 juta
SHAH ALAM - IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan kecemerlangan apabila menjual tiga plot tanah perindustrian di IOI Industrial Park @ Banting dengan nilai RM740.68 juta, baru-baru ini.
Perjanjian jual beli membabitkan tanah seluas 136.03 ekar itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh IOIPG, Fortune Growers Sdn Bhd dengan Bridge Data Centres Malaysia VII Sdn Bhd (BDC) pada 29 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, pengambilalihan tanah oleh BDC bertujuan mengembangkan lagi model perniagaan pusat data syarikat berkenaan.
"Ini bukti keyakinan pelanggan terhadap kualiti taman perindustrian yang dibangunkan oleh IOIPG.
"Lokasi strategik taman perindustrian kami seluas 322 ekar, terletak berhampiran dengan lebuh raya utama dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang merupakan faktor pilihan yang kukuh.
"Dengan adanya infrastruktur yang lengkap dan sedia ada di IOI Industrial Park @ Banting, beban untuk memulakan operasi diringankan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Majlis menandatangani perjanjian turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi IOIPG (Pembangunan Hartanah Malaysia), Teh Chin Guan manakala bagi pihak BDC pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Eric Fan dan Presidennya, Sandy Xiao selaku saksi.