IOI Properties jual tiga plot tanah industri di Banting bernilai RM740 juta
BANTING: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan transaksi mega apabila berjaya menjual tiga plot tanah perindustrian di IOI Industrial Park @ Banting dengan nilai RM740.68 juta, baru-baru ini.
Perjanjian jual beli itu dimeterai antara anak syarikat milik penuh IOIPG, Fortune Growers Sdn Bhd dengan Bridge Data Centres Malaysia VII Sdn Bhd (BDC) pada 29 Januari 2026, membabitkan tanah seluas 136.03 ekar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng, berkata pengambilalihan tanah oleh BDC itu bertujuan mengembangkan lagi model perniagaan pusat data syarikat berkenaan.
Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai bukti keyakinan pelanggan terhadap kualiti taman perindustrian yang dibangunkan oleh kumpulan.
"Lokasi strategik taman perindustrian seluas 322 ekar kami dengan lebuh raya utama dan hubungan dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang memberikan faktor pilihan yang kukuh.
"Selain itu, dengan adanya infrastruktur yang lengkap dan sedia ada di IOI Industrial Park @ Banting, beban untuk memulakan operasi telah diringankan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Selain penjualan tanah, IOIPG kini merangka strategi untuk mengukuhkan segmen Pelaburan Hartanahnya dengan meneroka sektor logistik yang berkembang pesat.
Mengulas lanjut, Yeow Seng berkata, kumpulan sedang mempertimbangkan pembinaan fasiliti gudang logistik seluas 500,000 kaki persegi di IOI Industrial Park @ Banting dan satu lagi fasiliti serupa di IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia.
"Fasiliti ini mungkin akan dipajakkan untuk jangka panjang dengan rakan kongsi logistik terpilih.
"Ini adalah sebahagian daripada pengembangan strategik kami untuk mengukuhkan portfolio pendapatan berulang bagi segmen Pelaburan Hartanah kami dalam tempoh beberapa tahun akan datang," jelasnya.
Langkah itu selari dengan data penyelidikan Mordor Intelligence yang menjangkakan pasaran kargo dan logistik di Malaysia akan mencapai nilai AS$38.28 bilion menjelang tahun 2030, yang berpotensi menyebabkan peningkatan mendadak dalam permintaan ruang gudang.
Dalam perkembangan berkaitan, IOIPG turut memaklumkan bahawa taman perindustrian seluas 1,100 ekar mereka iaitu IOI Industrial Park @ Iskandar Malaysia yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), mungkin akan diperluaskan lagi keluasannya.
Potensi pengembangan itu didorong oleh peningkatan permintaan dan pelaburan di wilayah selatan tanah air itu.
Sementara itu, bagi IOI Industrial Park @ Melaka seluas 250 ekar, projek itu kini dalam proses mendapatkan kelulusan yang berkaitan.
Yeow Seng menambah, penubuhan siri Taman Perindustrian IOI pada 2024 adalah selari dengan inisiatif pembinaan negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta usaha kolaboratif bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor.
"Pangsi strategik ini adalah tepat pada masanya untuk pengembangan segmen Pembangunan Hartanah Kumpulan," katanya.