26
Feb
2025

IOI Properties Group raih pendapatan RM1.42 bilion, catat untung RM284.5 juta

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) meraih pendapatan berjumlah RM1.42 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2024, disokong prestasi kukuh segmen pelaburan hartanah.

Dalam satu kenyataan, IOIPG berkata, walaupun hasil daripada segmen pembangunan hartanah menurun sebanyak 14 peratus, ia diimbangi oleh prestasi kukuh segmen pelaburan hartanah yang terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 53 peratus.

Selain itu, segmen hospitaliti & rekreasi berjaya menggandakan hasil terutamanya didorong oleh sumbangan daripada tiga penambahan baharu dalam portfolionya iaitu Moxy Hotel, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Pulau Pinang.

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) separuh pertama bagi tahun kewangan 2025 menurun sebanyak 30 peratus kepada RM284.5 juta, berbanding RM405 juta yang diperoleh dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

"Prestasi yang lebih lemah ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan faedah daripada IOI Central Boulevard Towers. Bagaimanapun, kesan daripada perbelanjaan faedah yang lebih tinggi telah diimbangi oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti & rekreasi.

"Prestasi ini menekankan daya tahan portfolio kepelbagaian kumpulan, yang membolehkannya mengekalkan prestasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata walaupun ketidaktentuan ekonomi masih berterusan, jangkaan penurunan kadar faedah memberi prospek yang positif kepada kumpulan, disokong tawaran produknya yang pelbagai merentasi tiga negara.

"Aliran pendapatan berulang yang kukuh daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap, serta prospek positif segmen hospitaliti dan rekreasi akan menyediakan asas kukuh kepada kumpulan untuk memastikan pendapatan yang berterusan pada masa hadapan," katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2025, segmen pembangunan hartanah mencatatkan jualan sebanyak RM692.9 juta, dengan projek tempatan menyumbang RM625.1 juta atau 90 peratus daripada keseluruhan jualan.

Di Malaysia, jualan didorong terutamanya oleh rantau Lembah Klang sebanyak RM418.8 juta, yang diterajui oleh pembangunan bersepadu matang dan berkembang pesat iaitu IOI Resort City di Putrajaya dan Bandar Puteri Puchong di Selangor.

Source: Berita Harian

Search