
IOI Properties Group rai hubungan unik 51 tahun Malaysia-China
PUTRAJAYAL IOI Properties Group (IOIPG) dan Visit IOI Resort City meraikan hubungan unik antara Malaysia dan China yang melangkaui jalinan diplomatik selama 51 tahun menerusi penganjuran acara bertemakan perayaan budaya, tradisi serta kecemerlangan kulinari.
Acara yang berlangsung selama empat hari, bermula dari 19 Februari dan berakhir pada Sabtu lalu mengetengahkan elemen sejarah dan seni itu ditonjolkan menerusi persembahan secara langsung, kebudayaan warna-warni serta hidangan istimewa yang memberikan pengalaman audio visual yang luar biasa.
Ketua Bahagian Hotel IOIPG, Alan Yau, berkata, acara itu menonjolkan kepentingan dalam mengukuhkan hubungan perniagaan dan budaya antara Malaysia dan China.
"Acara ini bukan sekadar mempamerkan makanan dan persembahan budaya, tetapi juga bertujuan mengukuhkan penghormatan dan pemahaman bersama antara kedua-dua negara.
"Dengan kehadiran IOI Properties Group di Xiamen, acara ini adalah langkah penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi serta meraikan nilai-nilai bersama yang menyatukan kita semua, tanpa mengira sempadan negara," katanya ketika berucap pada acara makan malam bersempena acara Malaysia dan China: Perayaan Budaya, Tradisi dan Kecemerlangan Kulinari di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Besar (Promosi 11) Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Lee Thai Hung; Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Fujian Shaanxi, Yan Hua; dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Kumpulan IOIPG, Tan Lee Fong.
Perayaan Malaysia dan China dimulakan di W Kuala Lumpur, hotel terbaharu di bawah segmen Hospitaliti & Rekreasi IOIPG, dengan tarian 'flash mob' khas pada 19 Februari lalu.
Persembahan itu menggabungkan unsur tarian rakyat Shaanbei (Northern Shaanxi Folk Song & Storytelling) dan Yangge Fan Dance, yang menghiburkan tetamu di WET Deck berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.
Rentak kemeriahan diteruskan pada 20 Februari 2025 apabila persembahan flash mob dipersembahkan di IOI Mall Damansara dan IOI Mall Puchong.
Pada 21 Februari 2025, acara berpindah ke Moxy Putrajaya, hotel bergaya dan moden dalam portfolio IOIPG, yang menjadi lokasi bagi majlis makan malam pertama dalam siri perayaan itu.
Terletak bersebelahan IOI City Mall di IOI Resort City, acara itu menampilkan persembahan budaya dari China seperti Tang Dynasty Roly-Poly Dance, Master of Ramen, penceritaan kisah rakyat, serta persembahan Empat Keindahan Agung China, sambil diiringi dengan hidangan gabungan masakan Malaysia dan China.
Perayaan itu mencapai kemuncaknya dengan majlis makan malam di Putrajaya Marriott Hotel, IOI Resort City.
Antara acara kemuncak ialah Upacara Pemotongan Kambing Panggang yang melambangkan kemakmuran dan persembahan tarian ikonik Dunhuang Flying Apsaras.
Sementara itu, Lee Fong berkata, sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia dan pengunjung dari China mencerminkan minat yang mendalam terhadap pertukaran budaya.
"Acara ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap warisan budaya bersama, yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara dalam memperkayakan seni dan kebudayaan," katanya.
Perayaan itu dianjurkan dengan kerjasama Tourism Malaysia dan turut mendapat sokongan daripada Dewan Perniagaan Fujian Shaanxi, Xi'an Time-Honored Brand Association serta Dewan Perniagaan Shaanxi-Malaysia.
Acara ini juga dikendalikan bersama oleh Xiamen Tianei Haomian Catering Management Co Ltd dan Xiamen Post-80's Cultural Art Co Ltd.