IOI Properties Group Berhad catat hasil RM3.06 bilion dalam 9M FY2026, meningkat 41 peratus
PUTRAJAYA - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 41 peratus kepada RM3.06 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (9M FY2026) berbanding RM2.17 bilion pada 9M FY2025.
Prestasi kukuh itu didorong pencapaian mantap merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan teras, dengan segmen Pembangunan Hartanah, Pelaburan Hartanah serta Hospitaliti & Santai masing-masing mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 28 peratus, 41 peratus dan 83 peratus.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi 9M FY2026 meningkat lebih empat kali ganda kepada RM1.95 bilion, berbanding RM430.9 juta dalam 9M FY2025.
Prestasi kukuh itu terutamanya disumbangkan oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan serta keuntungan pengukuran semula South Beach, masing-masing berjumlah RM567.1 juta dan RM502.8 juta.
Tidak termasuk item luar biasa tersebut, PBT asas IOIPG meningkat 88 peratus kepada RM878.6 juta, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada semua segmen.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, keputusan sembilan bulan tahun kewangan 2026 syarikat membuktikan keberkesanan strategi dalam mengimbangi portfolio hasil, memanfaatkan permintaan industri dan memperkenalkan produk berorientasikan pasaran sambil meningkatkan produktiviti serta kecekapan merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan utama, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar dan ketegangan geopolitik berterusan.
Menurut beliau, melangkah ke hadapan, segmen Pelaburan Hartanah Kumpulan dijangka meneruskan trajektori peningkatan, disokong peningkatan kadar penghunian fizikal di IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower.
“Seiring itu, portfolio pendapatan berulang Kumpulan telah berkembang dengan ketara dan kini menghampiri skala segmen Pembangunan Hartanah selepas pengambilalihan Asia Square Tower 2 (AST2), sekali gus memperkukuh kestabilan pendapatan dan meningkatkan daya tahan dalam ketidaktentuan pasaran.
“Melengkapi pertumbuhan segmen Pelaburan Hartanah, penawaran produk Kumpulan yang pelbagai di tiga negara, prospek positif segmen Hospitaliti & Santai, serta kadar faedah yang menggalakkan dijangka menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan pendapatan mampan bagi suku keempat tahun kewangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Berikutnya, dalam 9M FY2026, segmen Pembangunan Hartanah merekodkan jualan sebanyak RM2.71 bilion. Projek tempatan menyumbang RM2.48 bilion atau 92 peratus daripada jumlah jualan, manakala projek di Republik Rakyat China (PRC) menyumbang RM148.6 juta atau 5 peratus, dan Singapura menyumbang baki RM82.3 juta atau 3 peratus.
Di Malaysia, jualan dipacu terutamanya oleh wilayah Lembah Klang sebanyak RM1.80 bilion, diterajui oleh jualan tanah industri di IOI Industrial Park Banting dan Jalan Ampang, selain sumbangan stabil daripada township utama Kumpulan seperti 16 Sierra di Puchong South dan Bandar Puteri Puchong.
Sementara itu, wilayah Johor merekodkan jualan RM675.3 juta, didorong terutamanya oleh jualan tanah industri di IOI Industrial Park Iskandar Malaysia, manakala township Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Susulan itu, jualan belum dibil meningkat sebanyak RM1.25 bilion sepanjang tempoh tersebut, menjadikannya mencecah paras tertinggi baharu RM2.10 bilion, sekali gus memastikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh terdekat hingga sederhana.
Ujar Yeow Seng lagi, selain momentum jualan yang kukuh, projek The Cube Plus, pembangunan Pejabat Kedai Semi-D 4 tingkat di Bandar Puteri Puchong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM738.3 juta yang baru dilancarkan, mencapai jualan penuh ketika pelancarannya pada Mac 2026.
“Ini membuktikan permintaan yang kekal kukuh terhadap penawaran komersial berkualiti dalam township matang Bandar Puteri Puchong dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil Kumpulan pada suku akan datang,” katanya.
Segmen Pelaburan Hartanah pula terus menunjukkan prestasi baik, disokong oleh penambahan South Beach Tower serta kadar penghunian lebih tinggi di IOI Central Boulevard Towers, manakala di Malaysia, IOI City Mall dan IOI Mall Puchong mengekalkan prestasi kukuh selain sumbangan lebih tinggi daripada IOI City Towers susulan peningkatan berperingkat kadar penghunian fizikal.
Selain itu, IOIPG baru-baru ini mengumumkan cadangan pengambilalihan AST2, sebuah pejabat premium Gred A yang terletak di pusat daerah kewangan Marina Bay, Singapura, dengan keluasan boleh disewa bersih (NLA) seluas 773,460 kaki persegi.
Pengambilalihan itu mencerminkan keyakinan berterusan Kumpulan terhadap aset utama di Singapura yang menawarkan pendapatan berulang stabil dan berada dalam kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan berdaya tahan, bekalan terhad serta transformasi bandar yang berterusan.
Selepas selesai menjelang Q1 FY2027, penambahan AST2 akan meningkatkan jumlah aset komersial di bawah pengurusan Kumpulan di Singapura kepada kira-kira 2.57 juta kaki persegi NLA dan 634 bilik hotel, dengan nilai gabungan hampir S$10 bilion.
Ini dijangka melengkapkan portfolio utama sedia ada IOIPG yang merangkumi IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemilik pejabat utama terbesar di kawasan Marina Bay.
Dalam pada itu, sektor pelancongan di Malaysia kekal berdaya tahan meskipun ketegangan geopolitik berterusan, apabila mencatat pencapaian baharu pada suku pertama 2026 dengan 10.65 juta ketibaan pelawat antarabangsa.
Di PRC, Sheraton Grand Xiamen Jiamei dijangka terus mencatat kadar penghunian lebih tinggi pada suku akan datang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasinya.
Walaupun konflik berterusan di Timur Tengah, segmen hospitaliti Kumpulan dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh inisiatif dan usaha kerajaan dalam mempromosikan pelancongan domestik serta serantau.