IOI Properties di landasan tepat capai sasaran jualan hartanah RM2 bilion
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM2 bilion di Malaysia bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh barisan pelancaran projek yang kukuh dan berterusan.
Penganalisis CGS International, Lucas Tan, berkata prestasi jualan syarikat itu menunjukkan momentum yang memberangsangkan apabila mencatatkan jualan hartanah berjumlah RM1.4 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, tidak termasuk jualan tanah.
Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan pemaju hartanah itu mampu memenuhi sasaran jualan tahunannya berikutan prospek pelancaran projek yang sihat dalam tempoh mendatang.
"Kami percaya kumpulan itu berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan Malaysia sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026, didorong oleh saluran pelancaran projek yang sihat," katanya dalam satu nota penyelidikan.
CGS International turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) IOIPG bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak empat peratus, enam peratus dan empat peratus selepas memperhalusi andaian berkaitan masa pengiktirafan jualan tanah serta margin keuntungan.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu meningkatkan harga sasaran (TP) saham IOIPG kepada RM4.51 berbanding RM4.08 sebelum ini.
Bagaimanapun, CGS International menurunkan saranan saham syarikat itu daripada 'tambah' kepada 'pegang' berikutan kenaikan harga saham yang ketara sepanjang tahun ini.
Saham IOIPG telah melonjak 59 peratus sejak awal tahun sehingga 28 Mei 2026, sekali gus menyebabkan penilaiannya menjadi lebih mahal berbanding purata sejarah.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, IOIPG merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM260.6 juta, meningkat 30 peratus berbanding suku sebelumnya dan melonjak 135 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu menjadikan keuntungan bersih teras bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 meningkat kepada RM623.5 juta, iaitu 122 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut CGS International, prestasi itu mengatasi jangkaan apabila mencapai 78 peratus daripada unjuran penuh tahun kewangan 2026 yang dibuatnya dan 88 peratus daripada anggaran konsensus Bloomberg.
Firma penyelidikan itu berkata, pencapaian lebih baik daripada jangkaan itu didorong oleh margin keuntungan yang lebih tinggi daripada jualan tanah di Melaka.
Jualan tanah yang diperoleh pada tahun kewangan 2024 itu menyumbang hasil sebanyak RM130 juta dan keuntungan sebelum faedah serta cukai (EBIT) sebanyak RM119 juta.
Selain itu, sumbangan pendapatan yang lebih tinggi daripada IOI Central Boulevard Towers (ICBT) serta penyatuan sumbangan projek South Beach turut menyokong pertumbuhan keuntungan syarikat.
Pengurusan syarikat juga memaklumkan terdapat potensi jualan tanah tambahan yang berskala besar menerusi taman perindustrian yang sedang dibangunkan di Banting, Kulai dan Melaka, yang berupaya membuka lebih banyak nilai daripada bank tanah kumpulan.
Dalam pada itu, kadar penghunian komited dan fizikal ICBT masing-masing meningkat kepada 98 peratus dan 75 peratus setakat akhir Mac 2026, sekali gus dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan hartanah pelaburan bagi tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028.
Syarikat turut mengekalkan sasaran untuk menyelesaikan penyenaraian REIT Malaysia menjelang akhir 2026, manakala pengambilalihan Asia Square Tower 2 dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun kewangan 2026.