IOI Properties catat untung lebih rendah RM225.2 juta
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih rendah pada suku pertama berakhir 30 September 2023 sebanyak RM225.2 juta, 67 peratus lebih rendah berbanding RM689.7 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Pendapatan pada suku dikaji turut menyusut 6.3 peratus kepada RM648 juta, berbanding RM691.5 juta yang diraih pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini, walaupun pendapatan dalam segmen pembangunan hartanah telah menurun sebanyak 15 peratus, penguncupan itu sebahagiannya diimbangi oleh prestasi mengagumkan dalam segmen pelaburan hartanah yang bertambah baik sebanyak 31 peratus.
"Walaupun penutupan Hotel Palm Garden, A Tribute Portfolio Hotel dan Putrajaya Marriott Hotel, pendapatan daripada segmen hospitaliti dan riadah dikekalkan dan disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada hotel lain," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata PBT yang lebih rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih lemah daripada segmen pembangunan hartanah di Malaysia dan China yang mencatatkan jualan yang lebih rendah.
Namun begitu, katanya, prestasi lemah bagi segmen pembangunan hartanah diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan ketara dalam segmen pelaburan hartanah.
"Ini menunjukkan ketangkasan dan keteguhan kumpulan dalam meningkatkan kitaran prestasi segmen perniagaannya yang pelbagai dalam kitaran ekonomi yang turun naik.
"Kami gembira dengan usaha berdaya tahan pasukan IOI dalam mencapai keputusan pada suku pertama tahun kewangan 2024, memulakan tahun kewangan di landasan yang betul.
"Kami sedar bahawa persekitaran operasi di dalam dan di luar Malaysia akan terus menghadapi beberapa masalah.
"Bagaimanapun, penawaran produk hartanah kami yang luas dipelbagaikan di tiga negara, pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah yang mantap dan prospek yang lebih baik untuk segmen hospitaliti dan riadah akan memberikan kumpulan asas yang kukuh untuk pendapatan yang mampan di masa hadapan," katanya.