IOI Resort City
28
Aug
2023

IOI Properties catat untung bersih RM1.39 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd melonjak kepada RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, daripada RM686.73 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya di tengah-tengah peningkatan portfolio pelaburan hartanahnya.

Hasil bagi tahun kewangan itu hampir tidak berubah pada RM2.593 bilion berbanding RM2.59 bilion sebelumnya.

"Walaupun hasil dalam segmen pembangunan hartanah merosot sebanyak 11 peratus, penurunan itu diimbangi oleh prestasi mengagumkan dalam segmen pelaburan hartanah yang meningkat sebanyak 35 peratus.

"Dalam keadaan aktiviti berkaitan pelancongan yang semakin pulih, segmen hospitaliti dan liburan meningkat 85 peratus berbanding tahun sebelumnya," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

IOI Properties mengisytiharkan dividen lima sen bagi tahun kewangan 2023.

Bagaimanapun, bagi suku keempat, keuntungan bersih susut kepada RM235.37 juta berbanding RM292.48 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil juga susut kepada RM666.46 juta berbanding RM715.94 juta.

Bagi tahun kewangan 2023, IOI Properties berkata, segmen pembangunan hartanah mencapai jualan dengan pertukaran kontrak sebanyak RM1.96 bilion.

Projek tempatan menyumbang RM1.67 bilion, iaitu 85 peratus daripada jumlah jualan, manakala projek luar negara dari China dan Singapura menyumbang baki 15 peratus pada RM290.4 juta.

Di Malaysia, jualan disumbang sebahagian besarnya dari Lembah Klang iaitu sebanyak RM854.1 juta, diterajui oleh pembangunan bersepadu syarikat di IOI Resort City di Putrajaya dan perbandaran matangnya di Bandar Puteri Puchong di Selangor. Johor terus mendahului negeri lain dengan sumbangan jualan sebanyak RM772.0 juta.

Bagi tahun kewangan 2024, pemaju hartanah itu berkata ia merancang menawarkan pelbagai produk serba guna di seluruh perbandaran sedia ada.

Unit kediaman dan komersial berharga sederhana akan dilancarkan di 16 Sierra, Bandar Puteri Puchong, Bandar Puchong Jaya, Warisan Puteri dan Bandar Puteri Bangi manakala lot perindustrian akan ditawarkan di Taman Perindustrian IOI yang dijenamakan semula di Banting di Lembah Klang.

"Di Johor, bagi memanfaatkan permintaan yang kukuh, pelancaran akan tertumpu di Bandar Putra Kulai diikuti dengan pelancaran di perbandaran Bandar IOI Segamat, Taman Kempas Utama dan taman perindustrian kami di iSynergy di Senai," katanya.

-BERNAMA

Source: Berita Harian

Search