IOI Properties catat PBT RM1.45 bilion pada separuh pertama
PETALING JAYA: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, menurun 37 peratus berbanding RM2.30 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Syarikat dalam kenyataannya berkata, prestasi lebih rendah itu disebabkan keuntungan nilai saksama yang lebih kecil daripada hartanah pelaburan serta peningkatan kos faedah susulan operasi IOI Central Boulevard Towers yang bermula baru-baru ini.
Bagaimanapun, kumpulan berjaya mengekalkan daya tahan perniagaan dengan mencatat hasil berjumlah RM3.06 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen pelaburan hartanah dan hospitaliti serta rekreasi yang masing-masing melonjak 46 peratus dan 70 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen pasukan dalam menghadapi cabaran persekitaran global.
“Kami berpuas hati dengan usaha dan dedikasi pasukan IOI dalam menyampaikan keputusan yang membanggakan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
“Ini khususnya bagi segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan rekreasi. Trend penurunan kadar faedah juga dijangka memberi kelebihan kepada kumpulan.
“Kumpulan yakin prospek masa depan akan terus disokong oleh portfolio pelaburan hartanah yang mapan, aliran pendapatan berulang yang besar serta prospek positif industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sehubungan itu, IOIPG turut mengumumkan dividen lapan sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan.
Bagi segmen pembangunan hartanah, kumpulan merekodkan jualan sebanyak RM1.81 bilion dengan projek tempatan menyumbang 89 peratus atau RM1.62 bilion sementara projek di China dan Singapura pula menyumbang RM187.6 juta atau 11 peratus.
Di Malaysia, projek di Lembah Klang kekal peneraju dengan jualan RM946.8 juta, dipacu oleh pembangunan matang seperti IOI Resort City di Putrajaya dan 16 Sierra di Selangor.
Sementara itu, Wilayah Johor pula menyumbang RM663.8 juta melalui perbandaran meriah Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.
Selain itu, segmen pelaburan hartanah terus memberikan sumbangan stabil melalui pendapatan berulang daripada IOI City Mall dan IOI Mall Puchong yang turut mencatat keuntungan nilai saksama berjumlah RM651.4 juta dan RM61.1 juta masing-masing.
Dalam segmen hospitaliti, peningkatan pelancong asing yang mencecah 16.9 juta orang ke Malaysia antara Januari hingga Mei 2025 turut mengukuhkan kadar penginapan serta harga bilik purata di kebanyakan hotel milik kumpulan.
Di luar negara, Sheraton Grand Xiamen Jimei di China yang beroperasi sejak Mac 2025 menunjukkan peningkatan kadar penginapan, manakala IOI Central Boulevard Towers di Singapura mencatat kadar komitmen pajakan 88 peratus.
Kumpulan juga dalam proses memperoleh baki pegangan pembangunan mercu tanda South Beach di Singapura bagi mengoptimumkan operasi dan menjana nilai tambahan.