IOI Properties catat jualan RM437 juta di Johor dalam tiga bulan
PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat jualan berjumlah RM437 juta di Johor hasil pelaksanaan kempen sambutan ulang tahun ke-30 bertemakan ‘30 Years Together’ yang berlangsung dari 1 April hingga 30 Jun 2025.
Kempen itu merangkumi pelbagai projek perbandaran bersepadu kumpulan di Johor termasuk Bandar Putra Kulai, Taman Lagenda Putra, Taman Kempas Utama dan Bandar IOI Segamat, selain pembangunan lain seperti Platino Avenue.
Sepanjang kempen tersebut, sebanyak 558 pembeli layak berjaya menempah dan melengkapkan urusan jual beli unit kediaman, komersial dan industri yang ditawarkan di bawah kempen berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Wilayah Selatan IOI Properties Group, Lim Beng Yeang berkata, pencapaian jualan itu membuktikan tahap keyakinan tinggi pembeli dan pelabur terhadap jenama IOI Properties sebagai pemaju induk yang diyakini selama tiga dekad.
“Pencapaian jualan RM437 juta dalam tempoh singkat adalah manifestasi kepada kepercayaan pelanggan dan pelabur terhadap standard kualiti serta kecemerlangan
pembangunan kami. Sebanyak 33 peratus pembeli terdiri daripada pelanggan luar Johor manakala lima peratus merupakan pelabur asing.
“Permintaan terhadap hartanah kediaman terus menjadi penyumbang utama dengan 94 peratus jualan direkodkan bagi segmen tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, IOI Properties turut menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti perbandaran kumpulan itu di Johor dan berharap dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran masyarakat setempat.
“Kempen tersebut turut menawarkan 60 hadiah menarik kepada pembeli termasuk hadiah utama berupa pakej percutian antarabangsa untuk dua orang bernilai RM80,000 ke 30 destinasi dunia yang diumumkan pada majlis cabutan bertuah utama pada 28 September lalu,” katanya.
Kempen ‘30 Years Together’ dilancarkan bagi meraikan tiga dekad penglibatan IOI Properties sebagai pemaju utama di wilayah Selatan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemaju bersepadu yang menggabungkan elemen kediaman, komersial dan industri dalam satu komuniti berdaya huni.
Tambah kenyataan itu, IOIPG mula bertapak di Johor pada tahun 1995 dengan pelancaran projek perbandaran utamanya, Bandar Putra Kulai yang kini meliputi kawasan seluas 5,680 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM10 bilion.
“Ia diikuti pembangunan Bandar IOI Segamat pada 1996, Taman Lagenda Putra pada 2006, Taman Kempas Utama pada 2007 dan The Platino pada 2012.
“Ketika ini, kumpulan itu masih memiliki baki tanah seluas 5,065 ekar di Johor untuk pembangunan masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Lim berkata, IOI Properties komited mengekalkan strategi pertumbuhan mampan di Johor dengan pelancaran produk yang lebih pelbagai sejajar inisiatif ekonomi utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan peluasan infrastruktur rel di negeri itu.
“Kami akan terus memperkenalkan produk yang lebih berdaya saing, mampu milik dan menepati kehendak pasaran serta keperluan pemilik rumah, pelabur dan pemain industri,” ujarnya.
Antara projek terbaharu yang telah dan bakal dilancarkan termasuk i-Nova di Taman Kempas Utama yang menampilkan 922 unit kediaman jenis SOHO dengan sambutan 60 peratus jualan bagi Fasa 1, Kempas Square yang terdiri daripada 27 unit kedai pejabat pegangan bebas dua dan tiga tingkat, Carillon 3 yang menawarkan 112 unit rumah teres setingkat empat bilik, serta Marvela 3A di Bandar Putra Kulai yang menampilkan 91 unit rumah teres dua tingkat dalam komuniti berpagar.
Tambah Lim, IOI Properties akan terus komited terhadap pertumbuhan jangka panjang dan nilai mampan bagi memastikan Johor kekal sebagai antara pasaran utama kumpulan dalam tempoh 30 tahun akan datang.