IOI Properties catat hasil RM3.06 bilion, umum dividen 8 sen
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatatkan sedikit peningkatan dalam hasil kepada RM3.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), disokong oleh prestasi kukuh segmen Pelaburan Hartanah serta hospitaliti dan riadah.
Walaupun berdepan cabaran persekitaran perniagaan global, syarikat mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 8.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan bagaimanapun menyusut sebanyak 37 peratus kepada RM1.45 bilion berbanding RM2.30 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurut IOIPG, prestasi yang lebih rendah ini terutamanya disebabkan oleh keuntungan nilai saksama yang lebih rendah daripada hartanah pelaburan dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi, susulan permulaan operasi Menara IOI Central Boulevard di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang dicapai, terutamanya bagi segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah.
"Meskipun cabaran mungkin berterusan, aliran kadar faedah yang menurun memberi petanda baik untuk kami. Kami yakin bahawa penawaran produk kami yang pelbagai di tiga negara, aliran pendapatan berulang yang kukuh, serta prospek cerah segmen hospitaliti dan riadah menyediakan asas yang kukuh untuk pendapatan berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

Segmen pelaburan hartanah mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 46 peratus, manakala segmen hospitaliti dan riadah melonjak 70 peratus.
Prestasi ini didorong oleh pendapatan berulang yang stabil daripada pusat beli-belah utama seperti IOI City Mall dan IOI Mall Puchong.
Sektor perhotelan pula mendapat manfaat daripada peningkatan kadar penghunian dan harga bilik purata, selari dengan peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia.
Bagi segmen pembangunan hartanah, jualan berjumlah RM1.81 bilion telah dicapai, dengan 89 peratus atau RM1.62 bilion disumbangkan projek tempatan.
Jualan di Malaysia dipacu oleh perbandaran matang di Lembah Klang seperti IOI Resort City di Putrajaya dan 16 Sierra di Selangor, serta projek di Johor.
Kumpulan juga berjaya mengurangkan inventori siapnya daripada RM1.92 bilion kepada RM1.27 bilion dalam tempoh 12 bulan lalu hasil daripada kempen pemasaran yang bersasar.
Di peringkat antarabangsa, Menara IOI Central Boulevard di Singapura terus menunjukkan momentum pajakan yang kukuh dengan kadar komitmen mencapai 88 peratus.
Kumpulan juga baru-baru ini mencadangkan pengambilalihan baki kepentingan dalam South Beach, sebuah pembangunan ikonik di Singapura.