IOI Mall Damansara. IOI Properties Group terus mengukuhkan kedudukannya walaupun berdepan cabaran ekonomi.
03
Mar
2025

IOI Properties catat hasil RM1.42 bilion separuh tahun kewangan 2025

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan hasil sebanyak RM1.42 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Disember 2024.

Kejayaan itu susulan oleh sokongan segmen Pelaburan Hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Yeow Seng berkata, walaupun hasil daripada segmen Pembangunan Hartanah merosot sebanyak 14 peratus, namun diimbangi oleh Pelaburan Hartanah dengan pertumbuhan 53 peratus.

Menurutnya, segmen Hospitaliti & Riadah turut menggandakan pendapatan lebih dua kali ganda kerana didorong tiga penambahan baharu iaitu Moxy Hotel, W Kuala Lumpur dan Courtyard by Marriott Penang.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) pada separuh pertama bagi tahun kewangan 2025 menurun sebanyak 30 peratus kepada RM284.5 juta, berbanding RM405 juta yang diperoleh dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Prestasi yang lebih lemah disebabkan oleh perbelanjaan faedah daripada IOI Central Boulevard Towers.

“Namun begitu, kesan daripada perbelanjaan faedah yang lebih tinggi telah diimbangi oleh prestasi yang lebih kukuh bagi segmen Pelaburan Hartanah termasuk Hospitaliti & Riadah.

“Prestasi ini menekankan daya tahan portfolio syarikat selain dapat mengekalkan prestasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Source: Sinar Harian

Search