10
Apr
2026

IOI Properties cadang penubuhan IOIPG REIT dengan suntikan aset RM7.58 bilion

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencadangkan penubuhan amanah pelaburan hartanah (REIT) dan menyuntik hartanah runcit, hotel dan pejabat kumpulan itu ke dalam REIT tersebut pada harga RM7.58 bilion.

Pemaju hartanah itu berkata, aset yang akan dilupuskan kepada MTrustee Bhd, pemegang amanah yang dicadangkan untuk IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) akan merangkumi IOI City Mall di Putrajaya; enam hotel hartanah termasuk di W Kuala Lumpur, Le Meridien Putrajaya dan Putrajaya Marriott Hotel serta hartanah pejabat di Putrajaya dan Puchong.

Pertimbangan pelupusan akan dipenuhi melalui terbitan 5.5 bilion unit dalam IOIPG REIT pada harga terbitan indikatif 90 sen seunit, serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai, katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Selain itu, kumpulan itu telah mencadangkan tawaran sehingga 2.2 bilion unit dalam IOIPG REIT, yang terdiri daripada tawaran runcit dan institusi, pada harga yang akan ditentukan kemudian.

Cadangan itu juga termasuk penyenaraian IOIPG REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

IOIPG berkata, hasil kasar RM4.62 bilion daripada tawaran yang dicadangkan (berdasarkan tawaran 90 sen seunit) akan digunakan bagi membayar balik pinjaman (RM3.035 bilion) dan untuk pembangunan projek termasuk perbelanjaan pelaburan hartanah (RM1.55 bilion).

Anak syarikat milik penuh IOIPG, IOIPG REIT Management Sdn Bhd akan menjadi syarikat pengurusan REIT, manakala Henry Butcher Malaysia (Mont Kiara) Sdn Bhd merupakan pengurus hartanah REIT yang dicadangkan untuk IOI City Mall dan hartanah pejabat.

Kumpulan itu berkata, tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan, cadangan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2026.

Source: Berita Harian

Search