Tropicana Gardens Mall
25
Jul
2024

IOI Properties berpeluang pulihkan kerugian Tropicana Gardens Mall

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd percaya pengambilalihan Tropicana Gardens Mall yang merugikan oleh IOI Properties Group Bhd daripada Tropicana Indah Sdn Bhd adalah satu peluang untuk pemaju hartanah itu.

Bank pelaburan itu berkata, IOI Properties membeli pusat beli-belah itu pada harga RM680 juta, diskaun 28 peratus kepada nilai buku atau kos penggantian sebanyak RM943.6 juta.

Tropicana Indah Sdn Bhd ialah anak syarikat tidak langsung milik 70 peratus Tropicana Corp Bhd.

Tropicana Gardens Mall hanya untung selama setahun selepas dibuka pada Mac 2020.

"Ia hanya memperoleh RM500,000 pada tahun kewangan 2021 tetapi berada dalam keadaan merugikan pada tahun kewangan 2020 (-RM30.1 juta), tahun kewangan 2022 (-RM11.9 juta) dan tahun kewangan 2023 (RM16 juta)," kata Kenanga Investment Bank dalam satu nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu berkata, hasrat untuk memulihkan pusat beli-belah yang merugikan itu disokong oleh pengalaman beberapa dekad IOI Properties dalam membangun dan mengurus pusat beli-belah.

"Pengambilalihan itu akan meningkatkan penggearan bersih kumpulan sebanyak 0.73 kali pada akhir Mac 2024 kepada 0.76 kali, yang masih boleh diurus.

"Walaupun kami menjangkakan pusat beli-belah itu kekal rugi dalam tempoh terdekat, ia tidak mungkin menjejaskan keuntungan IOI Properties dengan ketara," katanya.

Kenanga Investment Bank juga mengekalkan saranan 'kurang prestasi' ke atas saham IOI Properties, dengan harga sasaran RM1.75.

Source: Berita Harian

Search