Dagang 20251125 IOI Galleria
25
Nov
2025

IOI Properties berdepan nisbah hutang tinggi walaupun prospek pendapatan FY26 lebih baik - MBSB Research

KUALA LUMPUR 25 Nov - Walaupun prospek pendapatan IOI Properties Group dijangka lebih baik pada FY26, nisbah hutang bersih yang tinggi sebanyak 0.95x menyebabkan MBSB Research kekal mengambil pendekatan berhati-hati terhadap saham tersebut.

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan NEUTRAL ke atas IOI Properties dengan harga harga sasaran disemak kepada RM2.30 daripada RM2.09, dengan mengecilkan diskaun RNAV kepada 55% daripada 59% berikutan peningkatan keterlihatan pendapatan.

"Kami menyemak semula unjuran pendapatan FY26/27/28 masing-masing sebanyak +68%/+47%/+44% bagi mengambil kira kos pembiayaan lebih rendah serta sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pelaburan hartanah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut MBSB, IOI Properties memulakan tahun kewangan 2026 (1QFY26) dengan prestasi yang jauh lebih memberangsangkan apabila keuntungan bersih teras melonjak kepada RM162.3 juta, dipacu kos pembiayaan lebih rendah dan peningkatan hasil daripada segmen pelaburan hartanah.

Katanya, keputusan suku berkenaan mengatasi jangkaan penganalisis dalaman tetapi sejajar dengan jangkaan konsensus, masing-masing merangkumi 47% daripada anggaran penuh tahun syarikat penyelidikan serta 26% daripada unjuran pasaran. 

Secara sukuan, keuntungan bersih teras meningkat 943.8% suku ke suku (qoq) daripada asas rendah 4QFY25 yang sebelum ini ditekan oleh kenaikan mendadak cukai hartanah. 

Kadar cukai efektif juga menurun kepada 11.5% berbanding 19.4% sebelumnya, sekali gus menyokong lonjakan pendapatan.

Segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti & rekreasi turut menunjukkan peningkatan ketara hasil daripada penyewaan IOI Central Boulevard dan sumbangan berterusan JW Marriott Singapore South Beach, South Beach Avenue dan South Beach Tower — susulan pengambilalihan baki 50.1% pegangan dalam Scottsdale Properties Pte Ltd.

Secara tahunan, pendapatan bersih teras 1QFY26 melonjak 117.3% yoy, disokong oleh prestasi lebih kukuh segmen pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah. 

Projek pembangunan di Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar, manakala IOI Central Boulevard terus memperkukuh pendapatan sewaan kumpulan.

Penurunan kos pembiayaan sebanyak 12% yoy turut membantu meningkatkan margin keuntungan, hasil kadar pembiayaan yang lebih rendah.

Source: Dagang News

Search