Berita Harian 20250604 IOIPG South Beach
04
Jun
2025

IOI Properties beli seluruh pembangunan ikonik South Beach di Singapura

KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) akan mengambil alih keseluruhan pegangan dalam pembangunan ikonik South Beach di Singapura selepas mencapai persetujuan memiliki 50.1 peratus kepentingan milik City Developments Limited (CDL) membabitkan urus niaga bernilai S$2.75 bilion (RM9 bilion).

Perjanjian jual beli saham itu membabitkan pemindahan kepentingan dalam syarikat pegangan Scottsdale Properties Pte Ltd yang kini mengendalikan pembangunan South Beach.

Nilai jualan berdasarkan kepentingan CDL dianggarkan sekitar S$834.2 juta (RM2.75 bilion), sekali gus menjadi antara pelupusan terbesar CDL, mencerminkan keupayaan kumpulan berkenaan untuk menjana nilai melalui kitar semula modal dan menjadi sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk mengurangkan kadar hutangnya.

South Beach yang dibangunkan secara bersama sejak 2011 adalah pembangunan bercampur seluas 3.5 hektar di kawasan Marina Central.

Ia merangkumi pejabat Gred A, hotel JW Marriott Singapore South Beach yang memiliki 634 bilik, ruang runcit serta 190 unit kediaman mewah yang telah habis dijual sejak 2021.

Projek itu dibina di atas tanah pajakan 99 tahun bermula Disember 2007, dan diperoleh melalui tender kerajaan yang mengutamakan konsep dan harga. Ia memperoleh Sijil Penghunian Sementara (TOP) pada 2015 dan 2016, serta menerima pengiktirafan Green Mark Platinum dari BCA atas komitmennya terhadap kelestarian.

Menerusi pengambilalihan itu, IOIPG akan memiliki sepenuhnya komponen komersial pembangunan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IOIPG, Lee Yeow Seng, berkata urus niaga itu sebagai langkah strategik penting yang menambah profil kumpulan itu sebagai pemilik ruang pejabat premium dan peserta utama dalam industri hospitaliti di Singapura.

"Pembangunan South Beach mempunyai kepentingan yang besar untuk IOIPG," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif CDL, Sherman Kwek, berkata pelupusan kepentingan itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk mempercepat kitar semula modal, mengurangkan hutang dan membiayai pertumbuhan masa depan.

Setakat 31 Mac 2025, komponen pejabat dan runcit South Beach masing-masing mencatat kadar penghunian komited yang kukuh sebanyak 92.4 peratus dan 92.5 peratus.

IOIPG juga memiliki IOI Central Boulevard Towers dan hotel W Singapore, Marina View yang dijadual dibuka pada 2028, sekali gus meningkatkan pegangan hartanah pelaburan mereka kepada 1.8 juta kaki persegi di Singapura.

South Beach merupakan hasil rekaan firma terkemuka Foster + Partners dan menampilkan kanopi beralun mikroklimatik sebagai elemen seni bina utama yang juga berfungsi sebagai penapis alam sekitar.

Ia menggabungkan empat bangunan warisan dengan dua menara moden setinggi 34 dan 45 tingkat.

Source: Berita Harian

Search