IOI Properties beli pejabat gred A di Singapura dengan harga RM7.7 bilion
KUALA LUMPUR: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mengumumkan akan memperoleh 100 peratus kepentingan milik CapitaLand Integrated Commercial Trust (CICT) dalam Asia Square Tower 2 (AST2), sebuah aset pejabat premium Gred A terletak di tengah-tengah daerah kewangan Marina Bay, Singapura, pada nilai hartanah yang dipersetujui sebanyak S$2.476 bilion (RM7.7 bilion).
Nilai itu dirunding berdasarkan prinsip pembeli rela dan penjual rela, selepas mengambil kira penilaian bebas oleh Savills bertarikh 12 April 2026, mewakili diskaun sebanyak S$50 juta berbanding nilai pasaran.
Perjanjian opsyen jual dan beli dimeterai baru-baru ini antara HSBC Institutional Trust Services (Singapore) Limited dalam kapasiti sebagai pemegang amanah kepada CapitaLand Commercial Trust yang merupakan sub-amanah milik penuh CICT, dan IOI Marina View Pte Ltd, anak syarikat milik penuh IOIPG.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties Group, Lee Yeow Seng, berkata Singapura kekal sebagai pasaran teras bagi kumpulan, disokong oleh persekitaran sosio-politik yang stabil serta kedudukan global yang kukuh sebagai hab kewangan dan perniagaan utama di Asia Tenggara.
Menurutnya, Singapura menarik syarikat multinasional, institusi global dan bakat bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi jangka panjangnya.
"Pemerolehan terbaharu ini mencerminkan keyakinan berterusan IOIPG terhadap aset utama di Singapura yang menawarkan aliran pendapatan berulang yang stabil, disokong oleh asas pasaran yang kukuh.
"Khususnya, aset yang terletak di kawasan Marina Bay berada dalam kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada permintaan berterusan, bekalan yang terhad dan transformasi bandar yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan.
AST2 merupakan pembangunan mercu tanda yang menawarkan kira-kira 773,460 kaki persegi kawasan boleh disewa bersih (NLA) premium Gred A, dengan pelan lantai bersaiz besar yang cekap, spesifikasi bangunan bertaraf terbaik, serta sambungan lancar ke rangkaian pengangkutan dan gaya hidup utama.
Bangunan ini juga dihubungkan secara langsung ke IOI Central Boulevard Towers melalui jambatan pejalan kaki bertingkat, meningkatkan kesalinghubungan dalam kawasan berkenaan serta membolehkan integrasi lebih baik dalam portfolio aset pelaburan sedia ada kumpulan.
Pemerolehan ini turut mengukuhkan kehadiran IOIPG dalam kawasan CBD, melengkapkan portfolio utama sedia ada yang merangkumi IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower.
Secara keseluruhan, aset-aset di bawah pengurusan ini akan membentuk kelompok pembangunan komersial premium bernilai S$10 bilion yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh IOIPG di daerah perniagaan paling berprestij di Singapura.
Penambahan AST2 ke dalam portfolio pelaburan hartanah IOI Properties Singapore dengan NLA berjumlah 2.57 juta kaki persegi dijangka mengukuhkan asas pendapatan berulang kumpulan.
Sehingga 31 Mac 2026, aset ini mencatat kadar penghunian purata sebanyak 95.8 peratus.
Disokong oleh permintaan pejabat Singapura yang kukuh daripada penyewa global serta kekangan bekalan ruang pejabat premium baharu di masa hadapan dalam kawasan CBD, AST2 berada dalam kedudukan baik untuk menjana peningkatan kadar sewa yang positif serta prestasi mampan dalam jangka panjang.
Dari segi operasi, IOI Properties Singapore akan memanfaatkan keupayaan pengurusan aset yang terbukti di IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower untuk meraih peluang pembaharuan sewaan, mengoptimumkan prestasi operasi dan memacu nilai jangka panjang.
Kedudukan hartanah yang bersebelahan dengan IOI Central Boulevard Towers dan South Beach Tower dijangka menyokong pengelompokan portfolio dalam CBD serta memudahkan pengembangan penyewa dan sinergi operasi merentas aset kumpulan di Singapura.
Selain itu, platform pejabat Singapura yang diperluas ini membolehkan kumpulan menawarkan pelbagai pilihan saiz pelan lantai kepada penyewa, daripada kira-kira 15,000 kaki persegi di South Beach hingga kira-kira 22,000 kaki persegi di IOI Central Boulevard Towers dan sekitar 30,000 kaki persegi di Asia Square Tower 2.