Penjaga dan penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim atau Miskin Rukaiyah, Kajang bergambar bersama dalam program Pohon Keinginan Hari Raya Yayasan IOIPG pada Sabtu.
12
Apr
2025

IOI Properties bagi sumbangan kepada 40 anak yatim

CYBERJAYA - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) memberikan sumbangan hadiah dan duit raya kepada 40 anak yatim dan miskin menerusi program Pohon Keinginan Hari Raya Yayasan IOIPG.

Ketua Kumpulan Komunikasinya, Kim Teoh berkata, inisiatif yang dianjurkan sejak tahun lalu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya dalam memberi motivasi kepada anak yatim supaya lebih bersemangat dalam pendidikan dan berjaya pada masa hadapan.

"Program yang dilaksanakan menerusi Yayasan IOIPG ini memberi tumpuan terhadap pendidikan dan pembangunan belia, selain memperkukuhkan nilai kebersamaan dalam kalangan pekerja IOI Properties.

"Setiap kali musim perayaan, kita akan mengenal pasti sebuah rumah kebajikan berhampiran kawasan pembangunan IOIPG untuk disantuni.

"Tahun ini, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim atau Miskin Rukaiyah, Kajang dipilih kerana lokasinya yang berdekatan dengan IOIPG," katanya kepada Sinar Harian ketika majlis Yayasan IOIPG Pohon Keinginan Hari Raya pada Sabtu.

Ketua Kumpulan Komunikasi IOI Properties, Kim Teoh
Ketua Kumpulan Komunikasi IOI Properties, Kim Teoh

Ujar Teoh, sebulan sebelum program berlangsung, kanak-kanak berkenaan akan mengisi borang untuk menyatakan hadiah pilihan mereka di Pohon Keinginan.

"Hadiah yang diminta termasuk jam tangan, kasut sukan, jersi bola sepak dan barangan peribadi lain, tertakluk kepada had RM100 seorang.

"Kami juga minta mereka mengisi borang permintaan yang menyatakan secara terperinci jenis hadiah yang diingini seperti warna, saiz, jenama, dan butiran peribadi seperti umur dan jantina.

"Kami cuba tunaikan permintaan itu sebaik mungkin agar mereka rasa dihargai dan diraikan,” ujarnya.

Menurut Teoh, selain kanak-kanak, 14 penjaga dari pusat jagaan tersebut turut diberikan sumbangan bagi menghargai peranan mereka dalam menjaga dan mendidik anak-anak tersebut.

Tambahnya, IOIPG turut menyalurkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, sabun dan bahan makanan kering bernilai antara RM1,500 hingga RM2,000 kepada rumah kebajikan terlibat.

"Dalam masa seminggu selepas program ini, kami akan menghantar bantuan tersebut kepada mereka. Ini juga akan membantu dalam memberi motivasi kepada anak-anak yatim," menurutnya.

Kata Teoh, pihaknya akan terus menyokong dan memberikan sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut selama dua tahun sebelum giliran diberikan kepada rumah lain di sekitar kawasan pembangunan IOIPG.

"Program ini turut menjadi jambatan penyatuan, menyemai nilai perpaduan dan kefahaman antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Pihak pengurusan telah menyatakan komitmen untuk meneruskan inisiatif berkenaan, dengan setiap rumah kebajikan akan menerima sokongan berterusan selama dua tahun berturut-turut sebelum giliran diberi kepada rumah lain," ulasnya.

Source: Sinar Harian

Search