IOI Palm Villa
20
Jul
2023

IOI Palm Villa cipta par 6 pertama di Malaysia

PETALING JAYA: IOI Palm Villa Golf & Country Resort (IOI Palm Villa GCR) menampilkan kelainan tersendiri berbanding dengan kelab-kelab golf lain dalam negara ini apabila mencipta satu par enam (par 6) dengan jarak sejauh 634 meter.

Par 6 yang terletak di lubang 13 ini adalah yang pertama di Malaysia hasil gabungan lubang par 4 dan par 3 sebelum ini.

Menurut Pengurus Kelab, Mohamad Fadil Ami, par 6 itu sengaja dicipta bagi menjenamakan IOI Palm Villa GCR ini sebagai satu-satunya kelab golf yang ada par 6, selain untuk memberi cabaran sebenar kepada setiap pemain yang beraksi di sini.

Katanya, sebaik sahaja par 6 ini siap dan dibuka, ramai pemain golf datang ke IOI Palm Villa GCR untuk merasai cabarannya selain merekodkan keputusan pukulan yang mampu mereka lakukan sama ada eagle atau birdie.

"Lubang 13 par 6 ini karektornya lurus dan panjang, nampak mudah sebab fairway agak luas. Tetapi perlu ingat, walaupun nampak mudah namun bukan senang untuk mencipta eagle atau birdie, malah untuk meraih par belum tentu lagi.

"Cabaran utama yang terdapat pada lubang par 6 ini ialah selain jarak yang panjang, ada bunker berhampiran green yang sedia memerangkap pukulan pemain yang tersasar dan juga permukaan green yang sedikit beralun dengan kelajuan 10 atau 10.5 stimpmeter,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Green tiga tingkat

Selain par 6, terdapat beberapa lubang lain yang diubah suai oleh pihak pengurusan IOI Palm Villa GCR sebagai tarikan baharu antaranya di lubang 15 iaitu par 5 dengan jarak 524 meter.

Kelainan yang dilakukan pada par 5 lubang 15 ini ialah greennya diletakkan di atas bukit dengan ketinggian kira-kira 20 kaki sebelah kanan fairway dan bentuk permukaan green pula beralun dengan tiga tingkat.

Sudah pastinya setiap pemain yang melakukan tee off di IOI Palm Villa GCR ini akan pulang dengan kepuasan, tambahan pula rumput yang digunakan di fairway, rough dan tee box adalah Zoyzia Matrella menjadikan bola anda bertenggek di permukaan fairway.

Di green pula, rumput jenis Bermuda Tifdwaf digunakan bagi memberi lebih kepuasan kepada pemain golf kerana rumput Bermuda Tifdwaf ini mampu memberi kelajuan sehingga mencapai 12 stimpmeter.

Pemandangan Gunung Pulai

Di IOI Palm Villa GCR, walaupun dikelilingi pokok kelapa sawit, anda akan sedikit terpesona apabila tiba di lubang satu par 5 IOI Course kerana dari tee box anda disajikan dengan pemandangan menarik Gunung Pulai.

Dari segi jarak pula, IOI Palm Villa GCR boleh dikatakan agak panjang kerana di IOI Course merekodkan sejauh 3,137 meter, manakala Palm Course 3,289 meter. Namun setiap pemain mempunyai pilihan sama ada mahu melakukan tee off di tee box biru, putih atau merah mengikut kemampuan masing-masing.

Jadi pilihan pemain luar negara

Selepas Covid-19 memasuki era endemik, IOI Palm Villa GCR mula menerima sambutan baik daripada pemain-pemain golf tempatan dan juga luar negara termasuk Jepun, Korea, Singapura dan lain-lain negara.

Dianggarkan kira-kira 3,600 sehingga 4,000 pemain golf bermain di IOI Palm Villa GCR. Ini kerana bukan sahaja penjagaan fairway, greennya yang bagus tetapi juga faktor harga yang murah dan jarak perjalanan yang hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

Bagi kaki-kaki golf yang belum pernah beraksi di IOI Palm Villa GCR, anda boleh datang ke sini dan merasai sendiri cabaran dan kepuasannya terutamanya di lubang 13 par 6 dan green bertingkat di lubang 15 par 5. Apa yang boleh dikatakan, selepas tee off lubang terakhir, anda pasti akan berkata: "Harus datang lagi bermain di sini."

Source: Utusan Malaysia

Search