GEMS Residences tawar rumah diilham reka bentuk komuniti Jepun
PUTRAJAYA: IOI Properties Group Bhd (IOIPG) menawarkan kediaman yang diilhamkan oleh penjagaan dan prinsip reka bentuk berasaskan komuniti Jepun iaitu GEMS Residences.
GEMS Residences berkeluasan 9.65 ekar ialah pembangunan kondominium pegangan bebas dengan 676 unit di empat blok bertingkat rendah sehingga 16 tingkat dan empat menara bertingkat tinggi sehingga 34 tingkat.
Reka bentuk binaan daripada 969 sehingga 1,690 kaki persegi menawarkan pintu masuk yang lebih rendah untuk pembeli yang lebih muda dan ruang yang lebih besar untuk keluarga, dengan harga bermula RM650,000.
Kediaman itu menggabungkan kehidupan gaya hidup dengan perkhidmatan kesejahteraan holistik melalui penubuhan 'Wellness Concierge' yang menyediakan penjagaan berasaskan komuniti, termasuk jururawat bertauliah untuk memberikan nasihat kesihatan am dan perundingan.
Perkhidmatan itu menyediakan bantuan seperti pertolongan cemas serta pemeriksaan penting percuma untuk pemilik dan penduduk GEMS Residences.
Terletak di tengah-tengah perbandaran bersepadu seluas 788 ekar, GEMS Residences mendapat manfaat daripada gabungan kemudahan komersial, hospitaliti, penjagaan kesihatan dan rekreasi IOI Resort City yang komprehensif.
Ia termasuk pusat beli-belah IOI City Mall berkeluasan 2.5 juta kaki persegi dan padang golf Palm Garden seluas 125 ekar serta sambungan utama ke pelbagai lebuh raya bagi memudahkan perjalanan ke Putrajaya (10 minit), Puchong (15 minit) dan Kuala Lumpur (30 minit).
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan IOIPG, Nicole Lee Chee Yiing, berkata sebagai permata IOI Resort City, GEMS Residences membuka jalan baharu untuk pemaju hartanah itu kerana ia merupakan perkongsian pertamanya dengan rakan kongsi Jepun, Mitsubishi Estate Residence.
Katanya, ia juga merupakan projek pertama yang menggabungkan kediaman gaya hidup dalam satu konsep holistik.
"Kepuasan pelanggan kami jelas dalam Majlis Penghargaan Pembeli GEMS Residences yang diadakan pada 28 April lalu, di mana lebih daripada 380 pemilik berkumpul untuk meraikan pemilikan mereka," katanya semasa lawatan media ke GEMS Residences, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mitsubishi Estate Asia, Soichiro Kanada, berkata pihaknya meneroka pasaran Malaysia kerana hubungan rapat dan mesra antara komuniti perniagaan.
"Di Malaysia, kami mengenal pasti IOI Resort City sebagai kawasan yang berpotensi pertumbuhan tinggi, memandangkan lokasinya yang strategik dalam koridor pembangunan selatan Kuala Lumpur dengan kebolehcapaian utama dan profil kemudahan yang matang.
"Kami juga tertarik dengan visi IOI Properties dan pendekatannya yang ke hadapan untuk GEMS Residences, membolehkan kami meminjamkan pengalaman dan kepakaran," katanya.