News



IOI Properties lancar Clio 2

Posted on: 11 Apr, 2019

PUTRAJAYA 11 April - Clio 2, projek kediaman terbaharu oleh IOI Properties Group Berhad (IOI Properties) dilancarkan penjualannya hari ini.

Projek jenis apartmen itu merangkumi 152 daripada 550 unit kediaman keseluruhan di kawasan IOI Resort City di sini.

Tiga blok apartmen yang dibina di atas tanah berkeluasan 788 ekar itu memaparkan ciri-ciri moden dan mewah dengan memaksimumkan ruang bagi memberikan keselesaan kepada penghu­ni.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan IOI Properties, Jason Tie berkata, apartmen di Blok A menawarkan dua rekaan terdiri daripada Jenis B dan D dengan keluasan masing-masing 947 dan 829 kaki persegi.

“Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan berikutan lokasinya terletak di antara pusat bandar Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu serendah RM471,000 hingga RM509,000 seunit mengikut keluasan dan ketinggian di samping semua pembeli akan mendapat diskaun dua peratus dan rebat RM10,000.

“Unit kediaman Jenis D mempunyai tiga bilik dan dua bilik air manakala Jenis B memiliki tiga bilik dan tiga bilik air, dengan kesemua unit mempunyai pemandangan alam sekitar di sekelilingnya,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Clio 2, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Tie berkata, apartmen di blok A itu sesuai untuk didiami oleh individu yang berkeluarga mahupun mereka yang baru memulakan kerjaya berikutan reka bentuk dan persekitarannya mesra pengguna.

Katanya, apartmen ini turut menyediakan empat tingkat letak kereta, kolam renang, gimnasium, tempat riadah serta sistem keselamatan terkini bagi menjamin keselesaan penduduk.

“Clio 2 bukan sahaja berdekatan dengan pusat beli-belah IOI City Mall, malah berhampiran Hospital Serdang dan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

“Pakej jualan yang ditawarkan juga dilihat dapat membantu merealisasikan impian individu untuk memiliki kediaman sendiri berikutan harga yang ditawarkan mampu milik mengikut pakej serta tiada bayaran deposit dikenakan untuk 100 pembeli pertama,” katanya.

Tie berkata, buat masa ini hanya Blok A dibuka untuk jualan bermula Mei ini manakala Blok B dan C masih dalam pembinaan, dijangka siap pada suku ketiga 2020.

Blok A dan C masing-masing dibina setinggi 23 tingkat dengan setiap tingkat hanya lapan unit kediaman manakala blok B mempunyai 35 tingkat.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang urusan tempahan pembelian, orang ramai boleh menghubungi talian 03-89478899 atau mengunjungi IOI Galleria di IOI Resort City. - UTUSAN ONLINE

 
Loading...