News



Lorong LDP berhampiran Bandar Puteri Puchong ditutup awal pagi Sabtu ini

Posted on: 06 Mar, 2019

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Lorong di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) kedua-dua arah utara dan selatan berhampiran persimpangan Bandar Puteri Puchong akan ditutup kepada semua kenderaan awal pagi Sabtu ini.

IOI Properties Group Berhad dalam satu kenyataan berkata penutupan itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf sekitar persimpangan itu. 

"Bagi trafik arah utara ke Kuala Lumpur/Damansara, lorong kiri dan tengah LDP berhampiran persimpangan Bandar Puteri Puchong akan ditutup bermula 12.01 pagi hingga 5.30 pagi 9 Mac.

"Lorong laju akan tetap dibuka sepanjang tempoh itu. Bagaimanapun lorong itu akan ditutup selama 15 minit apabila galang keluli diangkat ke tempatnya," menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu bagi trafik arah selatan ke Putrajaya/Cyberjaya, semua lorong LDP berhampiran persimpangan itu akan ditutup pada hari yang sama bermula 12.01 pagi hingga 5.30 pagi.

“Pengalihan trafik adalah seperti berikut: Belok kanan ke Lebuh Puteri, buat pusingan U bersebelahan Giant Hypermarket, terus ke kiri dan belok ke LDP menuju Putrajaya/Cyberjaya,” menurut kenyataan itu.

Naik taraf persimpangan itu bernilai RM20 juta oleh IOI Properties Group Bhd merupakan sebahagian daripada projek penambahbaikan aliran trafik Bandar Puteri Puchong bernilai RM63.9 juta.

Ia bertujuan untuk meningkatkan perhubungan di Bandar Puteri Puchong dan meningkatkan aliran trafik antara LDP dan perbandaran sekitarnya.
 
Loading...